PETALING JAYA – Setelah beberapa kelonggaran berperingkat Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 diwartakan, banyak aktiviti penganjuran acara terbuka yang telah tertunda lebih dua tahun kini dapat dilaksanakan semula.
Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan kian giat menjalankan pelbagai simulasi acara hiburan untuk dinikmati oleh warga kota.
Menurut Pengarah jabatan agensi berkenaan, Khairul Azmir Ahmad, usaha dijalankan adalah bertujuan bagi membantu menggerakkan kembali ekosistem penganjuran sekali gus membantu para penggiat industri.
“Pada 27 dan 28 November ini akan berlangsungnya KL Urban Youth Festival 2021 yang bakal diadakan di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
“Satu pengisian bersempena sambutan Jubli Emas Kuala Lumpur ke-50 Tahun yang akan datang, program yang dijalankan ini bakal menghimpunkan aktiviti-aktiviti menarik seperti sukan ekstrem, e-Sports, pertandingan Beatbox & Breakdance, bengkel keusahawan, kelas muzik dan bengkel seni kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
Acara yang bakal berlangsung selama dua hari itu akan bermula seawal pagi hingga malam membariskan aktiviti yang sinonim dengan kluster dan sub budaya anak muda.
Beberapa aktiviti utama seperti segmen Urban Showdown (Hip-Hop), FIFA21 Youth Championship (eSports) dan Battle at The Botanic (X-Games) akan disulami dengan pelbagai persembahan menampilkan artis utama seperti Bunga Is Me dan Strikeout hujung minggu ini.
Turut menyerikan adalah KL Street Jam yang bakal menampilkan artis-artis ‘underground’ seperti Caramelt Band, Kristal, Mayabayu dan Fugo.
Warga kota akan terus dihiburkan dengan persembahan penutup festival ini iaitu KL Urban Stage yang menampilkan persembahan hebat dari Monoloque , Aru Peruzza , Banyak Bunyik Republik dan Margasatwa sehingga pukul 11 malam pada hari kedua.
Penganjuran KL Urban Youth Festival 2021 ternyata menjadi pusat aktiviti seni sehenti yang penuh dengan aktiviti menarik kepada golongan belia dan seisi keluarga. Program berkenaan disediakan secara percuma.
Untuk menghadiri program-program tersebut , orang ramai hendaklah mendaftar terlebih dahulu di www.tiny.cc/urbanyouth2021 atau hubungi talian 018-2454612. – K! ONLINE