SAMBIL menjenguk ke arah mulut ribuan botol kaca yang tersusun di atas lantai, Muhamad Amirul Syafiq Azian, 24, mula mengangkat satu persatu botol tersebut bagi melihat keadaan ikan laga hiasan yang ditempatkan di dalamnya.
Sesekali, dia mengasingkan botol yang sudah kosong atau terlalu kotor untuk dicuci rakan sekerjanya, Muhammad Aqil Rafiqin Mahazir, 18, yang sudah sedia dengan mesin pemutar yang disambungkan dengan berus khas.
“Inilah rutin saya setiap hari. Selain memberi makan ikan-ikan laga hiasan yang dipelihara di sini, saya dan rakan sekerja juga perlu menukar air pada setiap botol dan bekas ikan yang ada di sini sekurang-kurangnya tiga hari sekali bagi memastikan kesihatan ikan terjaga.
“Selain itu, kami perlu membersihkan botol-botol yang kotor dan kosong sebagai persediaan untuk memasukkan ikan baharu yang tiba dari Thailand setiap minggu,” katanya yang telah dua tahun bekerja di pusat penternakan dan jualan ikan laga Betta Jengka di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang itu.
Di ruang pameran ikan pula, seorang pembeli, Amirul Alif Muhamad, 21, asyik menjengah ke arah susunan botol plastik yang berisi ikan laga yang diletakkan di atas rak pameran.
Sesekali, dia melekatkan cermin tersebut ke dinding botol plastik tersebut dan menggerakkan ke kiri dan kanan seolah-olah mengajuk ikan tersebut untuk bertarung.
“Apabila saya ingin membeli ikan laga, beginilah cara saya biasa lakukan kerana dapat menilai kecantikan ikan tersebut ketika ia mengembangkan ekor dan siripnya, selain memastikan ia sihat dan aktif.
“Kecantikan ikan laga sangat penting buat saya kerana ia mampu menarik pelanggan untuk membeli ikan yang akan dijual nanti,” katanya yang sanggup datang dari Gombak, Selangor semata-mata untuk mendapatkan stok ikan laga di situ untuk dijual kepada pelanggannya.
Ikan laga atau nama komersialnya Betta Splendens merupakan antara ikan hiasan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat hidupan air di negara ini.
Kira-kira 150 tahun lalu, ikan laga khususnya spesies liar banyak digunakan dalam aktiviti perjudian terutamanya di Thailand.
Namun hasil kebijaksanaan para penternak ikan laga yang melakukan pembiakan silang, ia yang pada asalnya hanya berwarna hitam dengan kilauan biru atau hijau di badan kini memiliki bentuk, warna dan corak yang lebih pelbagai dan semakin menarik.
Kecantikan ikan laga itulah yang telah menarik minat Mohd. Saiful Zainal, 34, untuk menceburi bidang penternakan dan jualan ikan laga menerusi syarikat miliknya, Betta Jengka.
Ketika ditemui K2 baru-baru ini, Mohd. Saiful memberitahu, dia memulakan aktiviti menternak dan memasarkan ikan laga itu sejak 2018 yang dilakukan secara kecil-kecilan di rumahnya Taman Desa Jaya 2, Jengka.
“Ketika itu, ruang pameran dan jualan ikan laga di rumah saya hanya mampu menempatkan kira-kira 100 ekor sahaja pada satu-satu masa.
“Namun selepas mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat ikan laga, saya mengambil keputusan untuk menyewa sebuah bangunan di kawasan taman perumahan ini untuk dijadikan tempat ternakan, pameran dan jualan,” katanya.
Menurut Mohd. Saiful, antara ikan laga yang diternak olehnya termasuklah jenis halfmoon dan halfmoon plakat daripada pelbagai varian genetic seperti warna solid, marble, dan multi-colour.
Bagi mempelbagaikan jenis ikan laga yang dipasarkan, dia mula mengimport ikan laga dari beberapa penternak di wilayah Nakhon, Thailand selepas mendapat permit import yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Negeri Pahang bermula tahun 2019.
Pada peringkat awal, dia mula membawa masuk ikan laga dari negara jiran itu antara 4,000 ekor hingga 5,000 ekor sebulan berdasarkan kapasiti di pusat jualan miliknya pada ketika itu.
Kini katanya, selepas dia melakukan pengubahsuaian pada ruang penempatan ikan dengan menukar bekas daripada botol air mineral kepada botol kaca yang lebih kecil, kapasiti ruang simpanan ikan semakin bertambah dan boleh menampung sehingga 12,000 ekor ikan pada satu-satu masa.
“Pada masa ini, secara puratanya saya akan mengimport ikan laga dari Thailand kira-kira 3,000 ekor setiap minggu.
“Dalam masa sebulan, saya mampu memasarkan ikan laga sehingga 10,000 ekor kepada pelanggan dari seluruh negara termasuk ikan yang diternak oleh saya sendiri.
“Alhamdulillah, dengan hanya bermula sebagai hobi memelihara dan menternak ikan laga, kini perniagaan ini telah menjadi pendapatan utama kepada saya sejak empat tahun lalu.
“Ia turut mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan peminat ikan laga di negara ini,” katanya.
Bagi seekor ikan laga hiasan gred biasa, dia menjualnya serendah RM10 seekor bagi jualan runcit, manakala bagi ikan gred tinggi, ia mampu mencecah sehingga ratusan ringgit bagi setiap ekor.
Jelas Mohd. Saiful lagi, hasil sokongan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan Daerah Maran, dia kini dalam proses untuk membuka sebuah lagi pusat penternakan ikan laga di Jengka yang mampu menghasilkan sehingga 50,000 ekor ikan pada satu-satu masa.
Dia juga kini semakin giat meneroka pasaran di beberapa negara jiran termasuk Brunei dan Singapura yang turut mempunyai peminat ikan laga yang ramai untuk dijadikan ikan hiasan.
Selain itu, peminat ikan laga di negara berkenaan juga sering memasuki pertandingan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.