BRENDAN Gan tidak mahu terus dihimpit perasaan kecewa dengan menjadikan musim 2022 sebagai detik kebangkitan buat pemain itu untuk bantu Selangor raih kejayaan.
Keputusan Selangor FC untuk mengekalkan khidmatnya diibaratkan sebagai ‘nyawa kedua’ buat Brendan untuk terus menghiburkan peminat di lapangan hijau.
Malah, pelbagai sokongan yang diterimanya sepanjang detik sukar selepas disahkan mengidap kanser testis menambahkan lagi keazaman Brendan untuk terus menabur bakti kepada skuad Merah Kuning.
“Misi diteruskan. Bangga untuk menjadi Red Giant,” katanya menerusi ciapan di laman sosial Twitter.
Julai lalu, pemain kelahiran Australia itu mengejutkan peminat bola sepak tempatan selepas mengesahkan yang dia mengidap kanser testis.
Untuk rekod, Brendan seorang pemain yang memiliki semangat juang tinggi apabila dua kali bangkit daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon juga menjelaskan, sumbangan Brendan cukup besar buat Selangor dan diharap mampu untuk bantu pemain lain melaksanakan misi pengendali pasukan, Michael Feichtenbeiner.
“Alhamdulillah, dia kekal kerana dia adalah pemain yang cukup penting buat pasukan. Pengalaman dan pengaruh dimilikinya cukup baik untuk bantu pemain lain, tidak kira muda atau pemain senior yang lain.
“Dia pun sudah sembuh dan akan memulakan usahanya untuk kembali bekerja membantu pasukan. Kita harap keadaannya akan bertambah baik selepas ini,” katanya.