PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad hari ini mengingatkan golongan lelaki untuk tidak culas dalam memberi nafkah kepada bekas isteri
Peringatan tersebut susulan langkah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan mengenakan tindakan sekatan akaun bank kepada bekas suami yang tidak bertanggungjawab.
“Sebenarnya, jika lelaki itu lari sekali pun, ia adalah sesuatu yang berdosa apabila dari segi syarak kerana jelas dia menzalimi bekas isteri dan anak-anak pasangan tersebut,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan JKSM semalam yang sedia bertindak susulan pewartaan tiga akta yang berbeza pada 10 Februari lalu termasuk tindakan keras penggantungan akaun bank.
Ia meliputi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 serta Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 yang sudah pun dipinda dan diwartakan.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutup Persidangan Halal Kebangsaan 2021 di sini hari ini yang turut disiarkan menerusi wadah sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).- K! ONLINE