KUALA LANGAT- Cubaan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita menyusup masuk ke negara ini tidak berhasil apabila dicekup di kawasan Pantai Kelanang, Morib di sini, awal pagi tadi.
Penahanan kesemua PATI berusia 18 hingga 51 itu dilakukan pukul 1.30 pagi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, PATI itu berjaya dikesan menerusi rondaan dan pemantauan dilakukan pihaknya bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kuala Langat di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, kesemua warga asing itu dipercayai masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot.
“Mereka yang terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita itu mendarat di pesisir pantai Pantai Kelanang. Hasil pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelas Rizal, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63. -K!ONLINE