KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan menganggap pasukannya sebagai pasukan bukan pilihan menjelang separuh akhir pertama menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Menurutnya, beliau percaya skuad kendalian Bojan Hodak itu merupakan pasukan lebih baik susulan belum tewas di laman sendiri dalam saingan itu.
Justeru, Zainal Abidin berharap anak-anak buahnya mengekalkan momentum yang ditunjukkan ketika menyingkirkan Sabah menerusi kemenangan 3-1 secara agregat pada saingan suku akhir sebelum ini.
Memandangkan skuad Sang Kancil itu sudah menamatkan penantian selama 38 tahun untuk mara ke separuh akhir, beliau kini berharap pemain-pemainnya boleh mencipta sejarah baharu dengan melangkah ke pentas final.
“Melaka adalah pasukan underdog pada perlawanan separuh akhir nanti. Kami tetap hormati KL City kerana mereka memiliki rekod bersih apabila beraksi di laman sendiri musim ini.
“Memang keyakinan ke atas Melaka kurang tetapi apa yang dipersembahkan pada Piala Malaysia, kami memang layak untuk pergi jauh. Saya harap kami dapat lakar sejarah baharu dengan layak ke final,” kata legenda bola sepak tanah air itu.
Pada masa sama, bekas pengendali Pahang itu sedia untuk memberikan sentuhan terakhir dari segi taktikal sebelum bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini dalam usaha mereka mendapatkan bekalan selesa.