KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) gagal mencari bekalan selesa apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Keputusan itu membolehkan JDT tersenyum membawa pulang bekalan satu gol berharga di tempat lawan manakala skuad Sang Penyu pula memilih jalan sukar menjelang pusingan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.
Dalam perlawanan di hadapan 20,000 penonton itu, TFC terlebih dahulu mendahului hasil tandukan kemas Jordan Mintah berpunca umpanan Lee Tuck pada minit kelapan.
Begitupun kelebihan itu gagal dimanfaatkan TFC untuk mendominasikan perlawanan selepas iti sebaliknya JDT pula yang kembali bangkit bagaikan harimau terluka.
Skuad Harimau Selatan mula mengganas dengan percubaan Bergson Da Silva pada minit ke-11 yang terkena tiang sebelum percubaan susulan Gonzalo Cabrera pula tersasar ke sebelah tepi gawang.
JDT terus mengasak hebat kubu tuan rumah lawan namun skuad Penyu bernasib baik dengan kecekapan penjaga golnya, Mohd. Suhaimi Husin yang berjaya menepis rembatan padu Arif Aiman Hanapi pada minit ke-26.
Peluang terbaik JDT menjelma lagi pada minit ke-41 tetapi peluang satu lawan satu gagal disudahkan Bergson bagi mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Lima minit bersambung babak kedua, JDT akhirnya menyamakan jaringan melalui Bergson yang lebih bijak menghukum kesilapan tuan rumah dan mudah menewaskan Mohd. Suhaimi.
TFC yang agak tenggelam dalam permainan ini cuba melancarkan serangan namun tandukan Mintah pada minit ke 63 terlalu lemah dan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat. – K! ONLINE