PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melantik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai agensi pelaksana bagi merealisasikan Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH).
Pelaksanaan PPKH bertujuan untuk mempertingkatkan kemampuan usahawan dan koperasi khususnya dalam memacu industri halal selari dengan hasrat merealisasikan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Hasrat itu juga sejajar dengan komitmen MEDAC melahirkan ‘Bangsa Usahawan’ melalui beberapa strategi seperti menggalakkan penyertaan inklusif perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi selain mewujudkan budaya perniagaan inovatif serta mampan.
Empat program utama di bawah PPKH merangkumi Program Pembangunan Kapasiti Usahawan (HOPE), Program Pembangunan Kapasiti Produk (PuTRA), Program Adaptasi Teknologi dan Inovasi (HTTP) serta Program Pengantarabangsaan.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Koperasi, Zainudin Sulaiman berkata, perkembangan pesat industri menunjukkan ekosistem halal di Malaysia mendapat sambutan positif khususnya dalam gerakan koperasi.
“Kemampuan menguasai sektor halal dengan menawarkan pelbagai peluang buat pengeluar dalam industri koperasi selain membuka pasaran lebih jauh untuk diterokai perlu dilaksanakan.
“Oleh itu, melihat kepada perkembangan dan permintaan pasaran halal yang positif, SKM mengambil langkah proaktif untuk membantu koperasi daripada pelbagai aspek,” katanya dalam kenyataan.
Zainudin menjelaskan, bantuan diberikan SKM bukan sahaja meliputi permohonan sijil halal, malah merangkumi aspek penjenamaan, pelabelan serta naik taraf perniagaan.
“Terdapat beberapa program diketengahkan SKM bagi membantu koperasi menguasai pasaran halal, antaranya memperuntukkan sebanyak RM300,000 pada tahun lalu bagi pengendalian program PuTRA bertujuan membangunkan kapasiti produk mempunyai pensijilan halal.
“Program itu memfokuskan kepada usaha meningkatkan nilai komersial produk halal koperasi agar tampil kompetitif dalam pasaran terbuka dan berpotensi untuk menembusi pasaran baharu,” katanya.
Selain itu, tambahnya, program berkenaan turut terbuka kepada koperasi mempunyai pensijilan halal yang mana produk mereka telah berada di pasaran selama enam bulan.
Pada masa sama, Zainudin memberitahu, sebanyak 41 stock keeping unit (SKU) meliputi pelbagai jenis produk termasuk makanan, minuman, penjagaan diri yang di bangunkan di bawah program PuTRA sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, jelasnya, jumlah itu melibatkan 25 SKU produk koperasi pada tahun 2020, manakala pada 2021 pula sebanyak 16 tambahan SKU produk dibangunkan dengan jumlah peruntukan bernilai RM192,000.
“Program PuTRA memberi tumpuan terhadap beberapa aspek pembangunan produk seperti penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan bertujuan meningkatkan nilai komersialnya di pasaran.
“Produk dihasilkan koperasi juga perlu menjalani penambahbaikan daripada aspek transformasi untuk memberikan nilai tambah dan daya tarikan selain mendapatkan pensijilan halal,” ujarnya.
SKM juga telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan program HTTP melibatkan penambahbaikan ke atas proses pembuatan produk-produk halal koperasi.
“HTTP menyasarkan sebanyak lima koperasi yang disaring untuk melalui pembangunan inovasi dan transformasi teknologi ke atas proses pembuatan produk halal mereka dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.
“Jadi, SKM perlu memberi nasihat dan bimbingan berkaitan tadbir urus koperasi selain memberikan khidmat perundingan bersama-sama agensi teknikal mengenai aspek pengeluaran produk seperti pembekalan peralatan mesin,”katanya.
Zainudin menambah, Program Halal Development Officer (HDO) turut dilaksanakan bagi melahirkan golongan profesional bertauliah dalam kalangan pegawai SKM.
“Pegawai dilantik oleh MEDAC dan agensinya perlu menjalani Kursus Persijilan Profesional Eksekutif Halal anjuran Akademi Halal bagi memastikan mereka layak, berpengetahuan dan mempunyai kemahiran berkaitan pensijilan halal.
“Seramai 40 pegawai SKM seluruh negara dipilih untuk mengikuti kursus itu dan mereka ini ditugaskan untuk mengenal pasti dan membimbing koperasi mendapatkan pensijilan halal,” tambahnya.
Pegawai HDO SKM tersebut merupakan sebahagian daripada 100 pegawai HDO yang dilatih oleh MEDAC.
Susulan itu, Zainudin berharap persediaan yang diambil SKM menerusi perlaksanaan program PPKH dengan empat program utama membantu nilai pasaran produk koperasi untuk melonjak jauh.
“Sasaran pasaran koperasi kini berjaya menembusi ke peringkat antarabangsa dan ia tidak lagi terhad dalam kalangan anggota atau pasaran domestik sahaja.
“Program yang di bangunkan itu juga secara umumnya membantu pembangunan halal koperasi, meningkatkan prestasi perniagaan serta menghidupkan pembudayaan halal dalam kalangan koperasi selain mengembangkan pasaran eksport mereka,” katanya.
Jelasnya, dana dan bantuan secara pemberian geran padanan juga diberikan bagi meningkatkan kapasiti produktiviti dalam bentuk pembelian mesin dan infrastruktur selain pinjaman Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) bagi kemudahan modal operasi koperasi. -K! ONLINE