SEJAK berusia 11 tahun lagi, sepotong nama Afieq Shazwan sudah mula terlakar di atas kanvas dunia seni dan hiburan tanah air.
Bermula dengan penyertaannya dalam program kanak-kanak, Idola Kecil, Afieq memulakan langkah kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi.
Sudah namanya anak seni, bakat yang dimiliki sebenarnya lebih daripada apa yang mula dipertontonkan kepada umum. Bukan sahaja nyanyian, Afieq juga mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan.
Masa berputar. Afieq yang dahulunya dikenali sebagai artis cilik, berkembang dan meningkat menjadi lelaki dewasa.
Namun, bayangan waktu kecilnya sebagai penyanyi dan juga pelakon masih kuat sehingga ada khalayak tidak menyedari bahawa Afieq yang dahulunya kanak-kanak kini menginjak usia 24 tahun.
Bayangan kanak-kanak
Justeru, apabila diberikan peluang memegang watak utama membintangi drama Diari Seorang Suami, pemilik nama lengkap Muhammad Shafieq Shazwan Zamros mengakui gentar untuk membawakan watak Hairi kerana belum pernah memikul karakter ‘berat’, sekali gus memainkan peranan sebagai suami.
“Saya bukan pelakon yang akan main ‘sambar’ sahaja watak yang diberikan walaupun sebagai peranan utama. Sebab saya mahu pastikan dahulu watak tersebut sesuai atau tidak dengan saya.
“Sejujurnya saya tidak berani sangat untuk ambil cabaran. Jadi apabila saya dapat skrip drama Diari Seorang Suami, saya rasa tak percaya kerana akan melakonkan watak seorang remaja berkahwin muda. Itu memang cabaran berat untuk saya,” jelasnya.
Sejak Diari Seorang Suami menemui penonton bermula 12 November lalu, komen-komen tidak enak mempertikaikan kemampuan pelakon berkulit hitam manis itu memikul tugas watak berat mula terbiak.
Ada juga cakap-cakap mendakwa Afieq tidak berwajah komersial untuk menjayakan watak lelaki dewasa kerana masih keanak-anakan.
Ujarnya, penonton mungkin kurang memahami apa yang cuba ditonjolkan dalam drama arahan pengarah Johan Bahar tersebut. Drama berkenaan berkisarkan sepasang remaja belasan tahun yang mengambil keputusan berkahwin pada usia muda.
“Saya akui watak yang dibawa agak berat. Sukar sebenarnya untuk saya membawakan watak dewasa.
“Namun, saya anggap watak sebegitu sebagai suatu cabaran sebagai seorang pelakon. Saya juga meletakkan diri dalam situasi jika ditakdirkan berkahwin pada usia muda,” jelasnya.
Tukar imej?
Bekas peserta program Big Stage musim pertama itu pada masa sama berkata, kemungkinan penonton masih dibayangi imejnya semasa kecil sehingga sukar menerima penampilannya dengan watak berat dan serius.
“Dahulu (sewaktu kanak-kanak dan remaja), saya terlalu aktif dengan drama dan telefilem. Sekarang saya sudah pun berusia 24 tahun dan masih dibayangi Afieq yang berusia belasan tahun.
“Ada yang boleh terima dan ada yang tidak. Saya cuba mewujudkan karakter lelaki dewasa sebenar dengan menyimpan misai, tapi tidak menjadi kerana tidak tumbuh lebat,” katanya.
Kata Afieq, dia sebenarnya belum bersedia untuk menukar imej semata-mata mahu kelihatan matang.
Dia bahkan tidak akan berbuat begitu hanya untuk promosi diri ditawarkan peluang memegang watak lebih dewasa.
Bagaimanapun kata Afieq, tidak mustahil jika suatu hari nanti dia memilih untuk mencuba imej sebegitu apabila sudah sampai masa yang sesuai.
Disoal tentang kesediaannya berkahwin pada usia muda, Afieq tidak bertangguh, bahkan sebenarnya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga meskipun baru sahaja mencecah usia 24 tahun.
Ujar Afieq, dia sudah membuat perancangan untuk membina mahligai bahagia sejak berusia 21 tahun.
Namun, dia tetap mendengar nasihat daripada rakan-rakan yang memintanya untuk bersabar terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa hidup seterusnya.
Jodoh
Bagi pelantun lagu Malam Semakin Dingin itu, pasti ada sebab mengapa nasihat sebegitu dihulurkan buatnya. Dia juga percaya, teman rapat dan ahli keluarga terlebih dahulu lebih ‘makan garam’ apabila menyentuh soal jodoh dan perkahwinan.
“Apabila ada orang nasihat, saya pegang betul-betul. Mesti ada sebab. Perancangan ada, saya sudah bersedia menjadi lelaki yang bergelar suami,” katanya.
Pada masa sama, Afieq juga tidak terlalu cerewet tentang kriteria calon isteri, termasuk soal usia.
Sama ada wanita tersebut lebih muda atau berusia berbanding dirinya, Afieq berpendapat, kematangan seseorang itu tidak diukur berdasarkan usia, sebaliknya kematangan dinilai berdasarkan pengalaman.
“Umur bakal isteri lebih berusia atau muda tidak menjadi masalah, yang penting ada persefahaman. Tanggungjawab suami berat sebenarnya.
“Tapi isteri juga perlu memainkan peranan penting. Ada juga isteri yang lebih muda tetapi mempunyai fikiran yang matang berbanding suami yang lebih berusia,” katanya.
Secara jujur, Afieq mendedahkan bahawa dia pernah melamar seorang wanita berusia 28 tahun untuk dijadikan isteri. Hasratnya bagaimanapun tidak kesampaian apabila lamarannya ditolak dengan alasan masih belum bersedia.
Meskipun begitu, Afieq tidak mengambil hati kerana memahami pilihan dan haluan hidup setiap orang berbeza-beza.
“Tuhan telah merancang yang terbaik untuk saya. Jadi kita ikut sahaja aturan-Nya,” kata Afieq menutup kata.