Platform PKS
SEREMBAN – Bermula dengan perniagaan mencetak pakaian, sepasang suami isteri, Nurul Aini Norazman, 30, dan suaminya, Mohd. Amirul Ashraff Mohd. Ghauth, 33, kini mengorak langkah dengan mengembangkan perniagaan sedia adanya dengan menawarkan pelbagai beg yang dicetak sendiri mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.
Sebagai permulaan, perniagaan syarikat yang menggunakan jenama Legion Production, operasi percetakan pakaian dan beg sepenuhnya itu hanya dilaksanakan dari sebuah bengkel khusus yang terletak di belakang rumah mereka di Kampung Sentosa di sini.
Premis tersebut dibangunkan bertujuan untuk mengurangkan kos kerana pada peringkat permulaan, ia merupakan satu tempoh yang sukar buat usahawan muda tersebut.
Pasangan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memulakan perniagaan sejak tahun 2016 dan menjadikan platform media sosial sebagai medium utama untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
“Ketika itu, kami memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM400 dan juga membeli sebuah mesin heat-press bernilai RM1,500 secara ansuran.
“Pengalaman bekerja di sebuah butik tudung terkenal sebelum ini menjadi bekalan kemahiran untuk mengusahakan perniagaan dan buat pertama kalinya kami berjaya mendapat tempahan untuk mencetak 15 helai pakaian,” katanya Nurul Aini ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Nurul Aini menerangkan, antara kekangan yang dihadapi setelah beroperasi di belakang rumah ialah pelanggan tidak berkeyakinan terhadap kemampuan mereka sehingga ada yang membatalkan tempahan.
“Ramai pelanggan tidak mempercayai kami yang mencetak pakaian hanya di belakang rumah. Pernah sekali kami rugi sehingga 4,000 helai baju korporat yang ditempah dengan alasan kami berniaga dari belakang rumah,” jelasnya.
Masalah tersebut bukan dijadikan alasan untuknya berasa putus asa tetapi terus bersemangat untuk memajukan syarikat dan mendapatkan lebih banyak tempahan serta menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan meskipun ia cuma berasaskan premis perniagaan dari belakang rumah sahaja.
Kombinasi kemahiran antara beliau yang berminat dalam bidang pemasaran dan suami pula dalam bidang grafik telah berjaya membawa hala tuju perniagaan ke arah yang berpotensi kini.
“Sedikit demi sedikit, jumlah pelanggan terus bertambah dan juga tempahan cetakan pakaian turut meningkat sehingga 300 helai,” katanya.
Setelah popular dengan hasil cetakan pakaian, Legion Production telah mengorak langkah dengan mencetak beg (personalize bag) bermula tahun lalu dan sehingga kini, syarikat menerima tempahan sehingga 23,000 unit beg.
“Pada masa itu, terdapat dua jenama beg yang terkenal dan popular di media sosial, saya mengikut jejak langkah mereka yang menjual personalize bag dan tidak sangka ia mendapat sambutan yang agak memberangsangkan terutama menjelang Hari Raya Aidil Fitri,” katanya yang pernah menjual sebanyak 3,000 unit beg dalam masa sebulan.
Selain menjual personalize bag dengan harga serendah RM19 seunit itu, Nurul Aini dan suami turut menjual pelitup muka dan termos.
“Untuk perancangan masa depan, kami akan membuka sebuah kedai percetakan pada bulan Disember ini di Senawang, Seremban. Kami kini tidak mampu menampung stok yang banyak di rumah dan pastinya pembukaan kedai baharu ini dapat melancarkan lagi perniagaan sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, setiap perniagaan ada cabarannya tersendiri dan bergantung kepada mana-mana usahawan untuk menerimanya secara positif atau terus melemahkan semangat mereka.
“Dalam perniagaan percetakan ini, kami terdedah kepada risiko tersalah mencetak nama di beg, mungkin kerana masalah komunikasi antara dua pihak atau pelbagai masalah lain.
“Kebanyakan beg dibeli secara borong jadi semasa urusan pembelian memang wujud pelbagai masalah seperti warna yang ditempah tidak sama dengan gambar yang diberikan.
“Jika terdapat kesalahan cetakan pada pakaian dan beg, kami terpaksa membuang terus. Kami juga perlu menanggung kos bagi masalah ketidakpuasan hati pelanggan terhadap mutu cetakan pakaian atau beg yang ditempah,” terang beliau.
Dalam pada itu, Nurul Aini menjelaskan, berkat kesungguhan mereka selama ini, empayar perniagaannya itu kini turut mendapat sokongan daripada 250 orang ejen di seluruh negara.
“Sewaktu permulaan pandemik Covid-19, saya hanya menguruskan perniagaan bersama suami tanpa pekerja.
“Kini kami sudah mempunyai ramai ejen di seluruh negara dan juga di Brunei, sehubungan itu, inisiatif tersebut telah memberi peluang kepada kami untuk berkongsi rezeki dengan lebih ramai usahawan baharu,” ujarnya.