PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika ini sedang mempertimbang kelas kursus praperkahwinan Islam secara dalam talian sebagai memenuhi keperluan orang kelainan upaya (OKU).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pelaksanaan kursus praperkahwinan melalui mekanisme terbabit akan menggunakan penyampaian modul kursus yang lebih interaktif dan mesra OKU.
“Beberapa sesi libat di peringkat Jakim, majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri akan diadakan dengan kementerian yang berkaitan dari semasa ke semasa sebelum ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Antara inisiatif yang sedang dipertimbang seperti penggunaan paparan grafik, penyediaan jurubahasa isyarat, rakaman video ceramah serta animasi.
“Semua inisiatif ini selaras dengan kandungan modul bersepadu kursus praperkahwinan Islam,” katanya di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Kemaman-Pas) yang ingin tahu mengenai kerajaan sama ada berhasrat mewujudkan inisiatif lebih proaktif menangani kekangan golongan OKU dalam menghadiri kursus praperkahwinan di Dewan Rakyat. – K! ONLINE