fbpx

Doktor kontrak dijangka adakan demonstrasi kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan memulakan siri demonstrasi kedua di seluruh negara secara serentak pada 8 Disember ini berikutan beberapa isu melibatkan doktor kontrak masih belum diselesaikan.

Difahamkan, peletakan jawatan doktor kontrak secara beramai-ramai akan berlaku bermula pada tarikh tersebut yang disifatkan sebagai langkah ‘renjatan’ kepada kerajaan.

Menurut jurucakap gerakan tersebut, Dr. Muhd. Yassin berkata, dijangka lebih 5,000 doktor kontrak akan menyertai perhimpunan aman tersebut.

“Kita ingin menegaskan bahawa perhimpunan ini tidak menentang kerajaan dan bukan gerakan politik sebaliknya hanya ingin mendapatkan keadilan kepada doktor kontrak di seluruh negara.

“Perhimpunan secara aman ini akan dilakukan secara serentak di seluruh negara di hospital-hospital yang terdapat doktor kontrak,” katanya ketika sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

Katanya, perhimpunan aman itu akan dilakukan ketika waktu rehat doktor kontrak kira-kira pukul 12 tengah hari dan akan berlangsung selama satu jam sebelum menyambung tugasan seperti biasa.

“Kita hanya ingin meluahkan ketidakpuasan hati dan akan mengutamakan kepentingan pesakit terlebih dahulu selain memastikan ia tidak menjejaskan tugasan di hospital.

“Perhimpunan berkenaan dijangka akan dilakukan di kawasan parkir, hadapan wad dan lobi hospital. Kita juga akan memastikan peserta menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal,” ujarnya.

Tambahnya, tujuan perhimpunan tersebut dilakukan adalah untuk mendesak kerajaan menunaikan beberapa tuntutan melibatkan doktor kontrak.

“Antaranya melibatkan penjawatan tetap doktor kontrak, hak sama rata dengan doktor tetap dan penjelasan jangka masa panjang berhubung status doktor kontrak.

“Kita juga menjangkakan ramai doktor kontrak akan meletakkan jawatan selepas 8 Disember ini namun angkanya masih belum diketahui,” ujarnya.

Pada 26 Julai lalu, Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara mengadakan demonstrasi secara serentak di seluruh negara berhubung kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI