PETALING JAYA- China dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) boleh meningkatkan kerjasama dalam aspek kesihatan awam dan farmaseutikal menerusi perkongsian teknologi, pengetahuan serta harta intelek.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama tersebut dilihat membantu meningkatkan sistem kesihatan awam ASEAN sekali gus bersedia berdepan sebarang kecemasan pada masa depan.
“Malaysia memuji China kerana membangunkan vaksin dalam jangka masa singkat selain komitmen republik itu membekalkan vaksin kepada negara antarabangsa lain.
“Kita amat menghargai sumbangan 28 juta dos vaksin yang disumbangkan China kepada ASEAN di mana 500,000 daripadanya diterima Malaysia selain berharap menerima tambahan satu juta dos lagi kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China tadi.
Turut hadir dalam persidangan maya itu Presiden China, Xi Jinping dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyentuh mengenai pendirian Malaysia terhadap kedudukan di Laut China Selatan.
Katanya, kedudukan Malaysia di Laut China Selatan sebagai kekal konsisten dan perlu diselesaikan secara aman serta konstruktif.
“Sebagai penuntut, Malaysia berpandangan bahawa isu berkaitan Laut China Selatan mestilah diselesaikan secara aman dan konstruktif mengikut pengiktirafan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.
“Susulan itu, Malaysia menyeru semua negara untuk terus komited ke arah mengekalkan keamanan dan kestabilan Laut China Selatan dengan mengelakkan tindakan provokatif,” jelasnya. – K! ONLINE