BARCELONA – Ketua Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez mahu anak-anak buahnya lebih berani mengambil risiko dalam setiap perlawanan selepas pasukan itu hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas Espanyol awal pagi semalam.
Xavi mengakui bahawa eleman itu penting bagi memastikan Barcelona mampu mencari ‘jalan keluar’ sekiranya berdepan lawan yang menggunakan lima pemain di benteng pertahanan sehingga menyukarkan mereka meraih jaringan.
Walaupun lulus dalam aksi pertamanya sebagai jurulatih baharu, Xavi percaya prestasi lebih baik mampu dijelmakan anak buahnya dan jentera serangan perlu tampil lebih tajam untuk menjaringkan lebih banyak gol.
“Sukar untuk kami melakukan serangan apabila pasukan lawan menggunakan lima pemain di benteng. Namun, kami perlu bekerja keras selepas ini kerana akan berdepan lagi situasi seperti ini.
“Secara umumnya, saya gembira dengan prestasi pasukan dan tiga mata yang diraih. Sikap dan usaha pemain juga agak bagus, kami mendominasi 75 minit permainan, namun Espanyol memberikan banyak masalah kepada kami.
“Kami bernasib baik. Kami sepatutnya perlu mengambil lebih banyak risiko untuk menjadi pasukan yang baik, namun semuanya memerlukan masa dan melibatkan keyakinan pemain,” kata Xavi.
Jaringan tunggal Memphis Depay menerusi penalti berjaya memastikan tiga mata buat Barcelona sekali gus menamatkan kemarau kemenangan sejak empat perlawanan terakhir liga. – AGENSI