SETIAP orang pasti memiliki idola dalam bidang yang diceburi dan bukan semua akan bernasib baik boleh bekerja sama dengan bintang kesayangan masing-masing.
Namun, sebaliknya buat penjaga gol muda negara, Azri Ghani yang berpeluang berlatih satu padang bersama idolanya, Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali sebagai Apek dalam latihan pusat Harimau Malaya yang dijadualkan bermula hari ini.
Ketika usianya masih muda dan mengharungi musim serba mencabar, Azri akui yang perjalanan kariernya cukup sempurna.
“Alhamdulillah karier saya agak baik, bermula dari peringkat bawah umur hingga dipanggil menyertai latihan skuad senior.
“Kalau ikutkan dapat sertai skuad bawah 23 tahun (B-23) pun saya tidak percaya, apatah lagi panggilan skuad senior memandangkan Perak bergelut musim ini.
“Ini mungkin rezeki saya. Bila dipanggil, saya kena letak target dan saya perlu ambil peluang ini untuk belajar,” katanya.
Sebelum ini, Azri berjaya menampilkan aksi cemerlang apabila berjaya mengetuai skuad B-22 negara layak ke Piala Asia B-23.
Bagaimanapun, Azri berkata, dia mengakui persaingan sihat antara ketiga-tiga penjaga gol, Khairul Fahmi dan Khairulazhan Khalid.
“Ini permulaan yang baik untuk karier saya. Apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba beri saingan kepada penjaga gol lain.
“Saya tidak boleh leka. Saya kena belajar untuk cuba kekalkan tempat saya dalam skuad kebangsaan,” katanya.