PUTRAJAYA – Seperti yang dijangka, tiada sebarang penyingkiran untuk konsert minggu pertama Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang berlangsung malam tadi.
Konsert yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu menyaksikan kesemua bintang GV8 membawakan lagu hits masing-masing.
Paling mengejutkan dan tidak disangka-sangka, penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz muncul sebagai bintang yang menduduki kedudukan teratas dengan markah tertinggi iaitu 74.6 peratus.
Tempat kedua pula diduduki Adibah Noor dengan markah sebanyak 73 peratus, diikuti Bandi Amuk dengan 71 peratus.
Sementara, Datuk Fazley pula menjadi bintang yang mendapat markah terendah iaitu dengan kutipan markah sekadar 53.6 peratus.
Menerusi konsert tersebut, kesemua bintang diadili oleh juri professional Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Ramli MS dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang sebagai juri tetap.
Konsert GV8 diacarakan pasangan pengacara popular, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Juara GV8 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi.
Program tersebut membariskan 13 penyanyi yang menyaksikan persaingan tiga penjuru disertai artis-artis dari negara ini termasuk Indonesia dan Singapura.
Mereka ialah Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff Aziz (Singapura).
Turut menyahut cabaran musim ini ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).
Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan daripada anggota kumpulan lawak, Senario iaitu Saiful Apek dan Yassin atau dikenali sebagai SaYa dan kumpulan Nico. – K! ONLINE