TANJUNG MALIM- Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang lebih 13 jam di kawasan hutan di Sungai Bil dekat sini ditemui selamat hari ini.
Mangsa yang berusia 60 tahun dijumpai selamat tanpa sebarang kecederaan pada pukul 9.40 pagi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, maklumat kehilangan mangsa diterima pada pukul 8.34 malam semalam selepas dimaklumkan pihak polis.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Maklumat yang diterima mengatakan mangsa bersama dua rakan masuk ke dalam hutan di Sungai Bil untuk urusan meninjau tanah sebelum dia disedari hilang.
“Operasi mencari mangsa yang digerakkan pada pukul 9 pagi tadi dipecahkan kepada dua kumpulan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa berjaya ditemui kumpulan pertama di check point pertama iaitu dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba. -K! ONLINE