PETALING JAYA – Setiap penyanyi pastinya mempunyai tips atau petua tersendiri bagi memastikan mutu vokal kekal terjaga.
Sama juga halnya dengan penyanyi terkenal Ramlah Ram yang mendedahkan tidak mengambil sebarang minuman berais dan berkarbonat demi menjaga kualiti suaranya.
Perkongsian petua tersebut tercetus selepas ramai yang bertanya bagaimana dia mengekalkan mutu vokal walaupun kini sudah berusia 56 tahun.
“Sebenarnya bukanlah petua luar biasa pun, saya cuma mengelak daripada mengambil air berais dan minuman berkarbonat.
“Alhamdulillah, petua tersebut masih saya amalkan selepas lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis resepsi Haqiem Rusli dan Aina Sofea di Cyberjaya malam kelmarin.
Selain petua, dia yang terkenal menerusi lagu Kau Kunci Cintaku itu mendedahkan tidak pernah menurunkan mana-mana ‘key’ lagu setiap kali membuat persembahan pentas.
“Ya, saya tak pernah turunkan ‘key’ lagu dan sehingga kini saya memang menyanyikan semua lagu saya mengikut ‘key’ asal. Alhamdulillah, masih belum terkucil.
“Jika saya turunkan, terasa seperti ada sesuatu yang kurang dalam nyanyian. Ibarat masakan tiada garam.
“Mungkin juga kerana sudah terbiasa sebab berulang kali menyanyi lagu sama sepanjang 35 tahun bergelar penyanyi. Selagi ada kudrat, ‘key’ nyanyian akan dikekalkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga sempat memanjatkan rasa syukur apabila masih ramai yang mengiktiraf bakatnya sebagai penyanyi selepas video nyanyiannya pada malam Anugerah Bintang Popular ke-34 tular dalam media sosial.
“Saya terkejut dan rasa terharu sangat melihat ramai yang beri komen positif terhadap persembahan pada malam tersebut.
“Sejujurnya tidak sangka sama sekali akan tular dalam media sosial. Apapun terima kasih untuk semua pujian dan kehadiran peminat generasi baharu,” tuturnya yang turut popular menerusi lagu Sesaat Kau Datang.
Semalam, Kosmo! melaporkan Ramlah menjadi tumpuan netizen sejak beberapa hari lalu selepas videonya menyanyikan lagu Siapa Yang Bersalah, Di Ambang Pintu Kasih dan Selamat Jalan Romeo tular dalam media sosial.
Rata-rata berpendapat, mutu nyanyiannya masih setanding ketika awal kemunculannya sekitar tahun 1986 dan bakatnya harus diangkat setanding dengan penyanyi senior lain. – K! ONLINE