LIVERPOOL – Bekas pemain Arsenal, Ray Parlour mengakui bahawa Mohamed Salah sudah pun membuktikan sumbangannya buat Liverpool dan berhak mendapat kontrak baharu lumayan dengan kenaikan gaji yang lebih tinggi.
Salah ketika ini yang mendahului carta penjaring dan turut muncul sebagai pemain dengan bantuan gol terbanyak masih berbaki 19 bulan sahaja lagi kontrak semasanya dan sebelum ini dikaitkan bakal meninggalkan Anfield.
Laporan sebelum ini menyebut, Salah meminta kenaikan gaji sehingga £500,000 (RM2.8 juta) seminggu untuk kontrak baharu menyebabkan Liverpool terpaksa menangguh rundingan mengenai perjanjian tersebut.
“Dia sangat luar biasa, cara dia bermain menakutkan pihak lawan termasuk jumlah gol yang telah dijaringkan. Dia telah melakukan semua perkara pada masa yang tepat, jadi saya fikir Salah berhak untuk membuat permintaan terhadap kontrak baharunya.
“Saya pasti wakilnya akan berkata kepada Liverpool ‘tunggu sebentar’. Salah berhak untuk dapatkan lebih daripada £400,000 (RM2.24 juta) seminggu. Jika anda pemilik Liverpool, anda perlu tahu bahawa dia memang berhak atas apa yang dia lakukan atas padang,” kata Parlour.
Baru-baru ini, Salah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris untuk Oktober selepas berjaya mencipta hatrik ketika menewaskan Manchester United 5-0.
Bekas bintang The Reds, Robbie Fowler juga mahu lanjutan kontrak diberikan kepada Salah.
“Pada pendapat saya, tiada satu pun suara sumbang di bilik persalinan Liverpool jika Salah muncul penerima bayaran tertinggi.
“Sudah pasti sebelum ini timbul kekecewaan di bilik persalinan jika ada pemain yang terima gaji lebih tinggi tetapi dalam hal ini, suka atau tidak, sekarang Mo adalah salah seorang pemain terbaik dunia,” kata Fowler. – AGENSI