SEREMBAN – Gara-gara panik selepas didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang pesara jururawat menyerahkan wang simpanannya berjumlah RM120,500 kononnya untuk tujuan siasatan kepada sindiket macau scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd. Ghani berkata, kejadian berlaku wanita berusia 71 tahun itu semasa berada di rumahnya pada 3 Oktober lalu menerima panggilan menyatakan dia membuat tuntutan insurans.
Menurut beliau, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambungkan kepada Balai Polis Pudu untuk bercakap dengan Sarjan Adam Mustafa serta Inspektor Mastura.
“Sindiket itu kemudian memaklumkan mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan talian disambungkan kepada pegawai atasan bernama Puan Yong.
“Puan Yong meminta mangsa memberikan semua maklumat perbankan dan mengarahkan warga emas itu memindahkan wangnya ke akaun lain.
“Mangsa kemudiannya membuat semakan dan mendapati terdapat pemindahan wang berjumlah RM120,500 secara dalam talian selama tiga hari berturut-turut bermula 8 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aibee memberitahu, mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan di Balai Polis Lenggeng semalam.