fbpx

Memandu di bawah pengaruh alkohol, 11 lelaki ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JSPT KL giat menjalankan operasi di hujung minggu di sekitar ibu negara bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya. - FOTO IHSAN JSPT KL.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Pelbagai Kesalahan yang dijalankan di sekitar ibu negara sejak Jumaat lalu hingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kesemua 11 individu tersebut berusia dalam lingkungan 25 hingga 57 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama. Operasi telah dilakukan di sekitar pusat bandar, Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Bangsar dan Jalan Tun Razak bermula pada pukul 9 malam hingga 4 pagi tadi.

“Kita juga tidak mengesan sebarang aktiviti samseng jalanan pada dua malam ini berikutan keadaan cuaca yang hujan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, secara keseluruhan sebanyak 164 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan sembilan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun H. S. Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI