GEORGE TOWN – Seorang mekanik dilaporkan maut selepas dihempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sedang dibaikinya di sebuah bengkel di Kampung Bukit, Bayan Lepas di sini malam tadi.
Mangsa, Muaz Mat Isa, 31, ditemui dalam keadaan tersepit di bawah MPV kira-kira pukul 11.45 malam.
Difahamkan, mangsa ketika itu berada seorang diri dan kejadian disedari seorang rakannya yang datang mencarinya di bengkel berkenaan.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Helmirizal Che Morad berkata, pihaknya menerima panggilan menyelamat mangsa pada pukul 11.54 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba bomba mendapati mangsa berada dalam keadaan terlentang di bawah MPV tersebut.
“Mangsa dikatakan telah dihempap kenderaan itu yang jatuh semasa sedang melakukan kerja-kerja pembaikian.
“Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dalam tempoh kurang lima minit dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa telah dikeluarkan kira-kira pukul 12.29 malam tadi dalam keadaan cedera pada muka dan badan serta disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau memberitahu lagi, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.05 pagi tadi.
Mayat mangsa dilaporkan dibawa ke Hospital Balik Pulau dekat sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE