MONTEVIDEO – Uruguay akhirnya mengambil keputusan untuk memecat ketua jurulatih, Oscar Tabarez awal pagi semalam disebabkan prestasi mengecewakan negara itu dalam kempen kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 ketika ini.
Pemecatan itu menyaksikan berakhirnya era kegemilangan Tabarez selama 15 tahun mengemudi skuad antarabangsa negara berkenaan sejak kali pertama dilantik pada 2006 lalu.
Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) menjelaskan keputusan tersebut terpaksa dibuat demi masa depan pasukan dengan gelaran La Celeste itu yang kini dilihat semakin samar untuk mencapai slot automatik ke Piala Dunia tahun depan.
“Jawatankuasa Eksekutif AUF membuat keputusan untuk menamatkan kontrak Tabarez dan ahli lain dalam barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan.
“Kami merakam ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tabarez yang bersikap profesional selepas mendedikasikan hidupnya untuk proses jangka masa panjang pasukan ini,” menurut kenyataan daripada AUF.
Tabarez, 74, dianggap legenda di Uruguay selepas mengemudi negara kecil dengan jumlah penduduk seramai 3.4 juta orang itu meraih tempat keempat Piala Dunia 2010 sebelum menjulang trofi Copa America pada 2011.
Bagaimanapun, lima aksi kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan tanpa kemenangan termasuk empat kekalahan berturut-turut menyaksikan peluang Uruguay semakin samar untuk ke saingan di Qatar tahun hadapan apabila kini jatuh ke tangga ketujuh.
“Saya seorang yang profesional. Saya menandatangani kontrak dan telah melakukan segala-galanya buat negara ini,” jelas Tabarez. – AGENSI