fbpx

KKM dijangka umum sistem amaran jika kes Covid-19 terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRY Jamaluddin (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan komputer kepada Dr. Ariza Zainuddin pada Majlis Penyampaian Aset kepada Pejabat Kesihatan Daerah Rembau di Rembau hari ini.-MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

REMBAU- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan satu sistem amaran berisiko tinggi dalam masa terdekat sekiranya berlaku gelombang peningkatan kes Covid-19 sehingga ke tahap kritikal.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sistem amaran itu dijangka akan diumumkan dalam satu hingga ke dua minggu lagi.

“Saya hendak mengumumkan dalam masa terdekat dalam masa satu hingga dua minggu lagi satu sistem yang dinamakan Sistem Amaran Berisiko Tinggi. Hampir semua negeri telah berada di fasa empat dan mereka tidak boleh berpatah balik.

“Saya telah maklumkan kepada jawatankuasa pengurusan pandemik, sekiranya ada tanda sudah rasa masuk dalam keadaan bahaya saya akan mengumumkan sistem amaran ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Kesihatan Daerah Rembau, di sini hari ini.

Pada lawatan tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menyerahkan aset untuk kegunaan pejabat kesihatan berkenaan termasuk sebuah van, kenderaan pacuan empat roda dan 10 buah komputer.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, kerajaan memberi jaminan tidak akan melaksanakan sekatan penuh pada masa akan datang namun memaklumkan terdapat beberapa sektor yang akan diperketatkan operasinya.

“Jika boleh saya mahu elak sekatan penuh (kerana) bukan hanya menganggu ekonomi, termasuk juga kesejahteraan dan mental rakyat. Mereka (rakyat) tidak boleh melalui lagi sekatan penuh.

“Ada beberapa sektor yang akan diketatkan dan saya akan mengumumkan serta dalam keadaan apa sistem yang akan dipakai.

“Kementerian Kesihatan saya rasa sudah bersedia apabila ada sistem ini apabila ada kenaikan dan sekiranya sudah melepasi nilai ambang. Bukan sekatan secara penuh tetapi ada sekatan yang diperketatkan,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut menyarankan kepada mana-mana penerima vaksin Sinovac untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 terutama dalam kalangan warga emas.

“Vaksin Sinovac memang berkesan bagaimanapun, keberkesanannya cepat menurun berbanding Pfizer.

“Saya menggalakkan mereka (penerima Sinovac) terutama bagi warga emas penyakit kronik (komorbid) untuk mengambil dos penggalak ini,” katanya lagi. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI