fbpx

Ditenung lembaga putih di tingkap bangunan tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMAN memecut motosikalnya dengan laju selepas terpandang lembaga putih di tepi tingkap di sebuah bangunan tinggal. – ILUSTRASI SHAH HASAN

MALAM itu, kira-kira 12 tahun lalu, Azman (bukan nama sebenar) memilih untuk pulang bekerja lebih awal kerana tidak sihat.

Selepas meminta izin daripada majikannya, pemuda yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan itu bergegas pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 7 kilometer dari bandar Bukit Mertajam di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ketika itu, jam di tangannya baru menunjukkan pukul 10 malam dan rata-rata kedai terutamanya yang menjual makanan masih ‘galak’ beroperasi.

Dalam perjalanan pulang, seperti biasa, Azman akan melayani selekoh semasa menuruni jejambat berhampiran sebuah bangunan lama yang terbiar di situ sambil memulas pendikit minyak motosikal Honda EX5 miliknya dengan gaya pelumba kelahiran Itali, Valentino Rossi.

Bagaimanapun, malam itu dirasakan agak berbeza apabila motosikal tersebut seperti agak berat untuk bergerak walaupun hanya perlu menuruni jejambat yang agak sunyi.

Secara tiba-tiba juga, enjin motosikalnya mati di tengah jalan sehingga memaksa Azman berhenti di bahu jalan.

“Ah, sudah. Takkan rosak motor ni. Baru servis enjin semalam,” getus Azman.

Ketika dia turun daripada motosikal untuk melihat keadaan, entah mengapa pada masa sama dia berasakan seolah-olah ada mata yang memandangnya dengan penuh ‘minat’.

Serentak itu juga, bulu romanya tiba-tiba berdiri dan pandangan matanya tertancap ke arah kiri iaitu salah satu tingkap bangunan lama itu iaitu sebuah pasar raya yang sudah tidak beroperasi.

Walaupun dalam keadaan samar-samar, Azman dapat melihat ada satu lembaga berpakaian putih di sebalik tingkap bangunan lama itu merenungnya dengan tajam sebelum menghilangkan diri.

Secara kebetulan, terdengar bunyi jeritan dan hilaian yang bersilih ganti dan enjin motosikalnya yang mati secara tiba-tiba tadi ‘hidup’ semula.

Tanpa membuang masa, Azman terus meninggalkan lokasi kejadian.

Ekoran itu, dia mengalami demam mengejut beberapa hari.

Kisah Azman itu tidak terhenti disitu selepas seorang penduduk setempat yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Tam turut mendakwa, pernah mengalami nasib yang hampir sama seperti pemuda itu.

Menurut Pak Tam, pasar raya setinggi enam tingkat yang pernah dikenali dengan beberapa nama itu beroperasi sekitar tahun 1980-an sebelum ditutup pada awal tahun 2000.

Katanya, ada yang mendakwa, bangunan itu terpaksa ditutup kerana tidak lagi selamat untuk dihuni akibat kejadian tanah mendap dan ada juga mendakwa, pemiliknya muflis sehingga terpaksa menukar nama pasar raya itu beberapa kali sehingga operasinya ditamatkan.

BANGUNAN tinggal ini dikatakan mempunyai banyak kisah mistik.

“Apapun dakwaan, pasar raya ini pernah menjadi lokasi tumpuan penduduk di sini walaupun ia tidak sehebat beberapa pasar raya lain di Bukit Mertajam pada masa itu,” katanya.

Ujar beliau, populariti pasar raya berkenaan sebagai salah satu daripada lokasi mistik sejak ia dikosongkan juga telah menarik minat pengkaji paranormal untuk bereksperimen di situ.

Katanya, selain dakwaan terdapat suara mengilai atau jeritan kesakitan yang kedengaran dari bangunan lama itu, ada juga mendakwa, terdapat kejadian bunuh diri serta rogol dan bunuh, namun mangsa didakwa tidak dijumpai hingga ke hari ini.

Dakwaan lain katanya, kawasan itu juga dikatakan pernah menjadi lokasi ‘mat pit’ melepaskan gian masing-masing, namun, ia tidak lama apabila mereka telah dihalau oleh penduduk setempat yang terserempak dengan mereka.

“Sebagai orang tempatan, saya tahu ada cerita-cerita ini yang sengaja ditokok-tambah untuk menarik perhatian orang ramai.

“Bagaimanapun, ada juga cerita yang jika difikirkan secara logik, memang tidak mustahil pernah berlaku di situ,” katanya yang bagaimanapun menolak untuk bercerita dengan lebih lanjut.

Jelas Pak Tam, dia juga ada berbual dengan beberapa orang pemburu paranormal dan mereka mengakui, hasil tinjauan di situ mendapati tempat itu sememangnya agak ‘keras’.

“Dalam hal ini, saya sebenarnya seorang yang agak rasional dan tidak begitu mudah untuk mempercayai perkara yang karut-marut.

“Bagaimanapun, saya tidak akan menafikan jika benar terdapat makhluk lain yang menjadi penunggu di situ. Yang penting, kita wajib percaya tidak ada kuasa lain yang boleh mengatasi kekuasaan Allah,” ujarnya.
—————————————————————————————————————————————
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI