GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot yang membawa penumpang tanpa lesen yang sah di perairan negeri ini pada kedudukan 1.3 batu nautika timur Batu Maung dekat sini semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan pada pukul 5.55 petang dalam Op Pertiwi.
“Ketika diperiksa, bot yang dikendalikan tekong yang membawa tujuh penumpang warga tempatan berusia 38 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan lesen bot dan kebenaran membawa penumpang.
“Mereka kemudiannya diiring masuk ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah.
Beliau turut mengingatkan pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut, manakala penumpang harus peka dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa agar tahap keselamatan lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Berhubung sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan, orang ramai diminta segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999. – K! ONLINE