fbpx

4 inisiatif KPKT untuk manfaat rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUMAH Ikram Keluarga Malaysia membantu kumpulan sasaran memiliki kediaman ekoran kekangan kewangan mereka selepas terjejas ekoran pandemik Covid-19.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi fokus kepada pelaksanaan empat inisiatif di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari yang mana secara keseluruhannya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Inisiatif tersebut meliputi Kediaman Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia), Jendela@PPR, Transformasi Pasar Malam KPKT dan program MyBeautiful Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan K. Navaratnam berkata, Kediaman Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia) adalah inisiatif bersifat penampan diperkenalkan oleh KPKT khusus untuk manfaat rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

N. JAYASELAN

Katanya, ia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 September lalu khusus kepada mereka yang menghadapi masalah seperti kehilangan pendapatan, kekurangan pendapatan serta kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi, ditamatkan sewaan dan seumpamanya.

“Kediaman Rumah Keluarga Malaysia menggunakan akronim Rumah Ikram Keluarga Malaysia. Ikram membawa maksud ‘memuliakan’ dalam Bahasa Arab dan ia hakikatnya menjadi hasrat KPKT untuk memberikan kemuliaan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan.

“Ini seiring dengan hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk merawat keresahan rakyat dalam keadaan mendepani cabaran dan kesan pasca pandemik ketika ini.

“Dengan inisiatif tersebut, kita mahu membina semula keyakinan rakyat dan mahu mereka berasa selamat dan akhirnya dapat meneruskan kehidupan dengan tumpuan kepada hal-hal lain untuk kelangsungan hidup mereka.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha bersasar KPKT bagi membantu kumpulan yang terkesan khususnya kumpulan B40,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Jayaselan menjelaskan, peringkat permulaan pelaksanaannya, KPKT menawarkan 1,000 unit Rumah Ikram Keluarga Malaysia di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor.

Katanya, Perdana Menteri mengumumkan khabar gembira iaitu bilangan unit Rumah Ikram Keluarga Malaysia ditambah kepada 1,000 unit lagi menjadi 2,000 unit untuk mereka yang berkelayakan.

“Sehingga kini ,seramai 226 penerima inisiatif ini telah menerima surat tawaran untuk mendiami Rumah Ikram Keluarga Malaysia daripada 989 pemohonan di seluruh negara manakala, terdapat sembilan lokasi bagi program ini,” katanya.

Lokasi tersebut adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Selangor (60 unit); PPR Sentul Murni di Kuala Lumpur (50 unit); PPR Aman Jaya (83 unit), Kota Setar (92 unit) dan PPR Sinar Intan 3 (18 unit) di Kedah; PPR Kota Bharu (74 unit), PPR Gua Musang (50 unit) dan PPR Pasir Mas (300 unit) di Kelantan serta PPR Sungai Melana 2 di Johor (1,450 unit) dengan kesemuanya berjumlah 2,177 unit.

Antara ciri-ciri Rumah Ikram Keluarga Malaysia adalah rumah bertingkat antara lima hingga 25 tingkat di kawasan bandar atau di pinggir bandar, berkeluasan 700 kaki persegi serta di lengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air selain ruang tamu dan dapur manakala, sewaan bermula dengan kadar sewaan minimum iaitu RM124 sebulan.

PROGRAM MYBeautiful Keluarga Malaysia akan memberi tumpuan terhadap persekitaran kediaman yang lebih bersih dan selesa.

Permohonan masih dibuka dan rakyat Malaysia yang berkelayakan dialu-alukan untuk memohon dengan syarat pemohon dan pasangan warga Malaysia, berusia 18 tahun dan ke atas selain tidak memiliki rumah, tempoh sewaan ditamatkan oleh tuan rumah atau seumpamanya serta pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.

Dalam pada itu, Jayaselan berkata, penambahan kepada 2,000 unit rumah seperti yang diumumkan akan memberi manfaat sekurang-kurangnya kepada 10,000 isi rumah yang memerlukan.

“Bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia, semua penerima manfaat akan diberikan pengecualian bayaran sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci.

“Pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung oleh kerajaan. Ini bagi membolehkan penerima manfaat khususnya ketua isi rumah dapat menumpukan usaha untuk merancakkan ekonomi keluarga,” jelasnya.

Bagi inisiatif program Jendela@PPR, beliau berkata, ia adalah kesinambungan daripada program Jalinan Digital Negara (Jendela) yang merupakan platform nasional bagi menambah baik komunikasi digital negara yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Katanya, program tersebut adalah inisiatif KPKT memperluaskan akses dan ketersambungan internet kepada warga B40 yang mendiami PPR dengan pemasangan ‘wireless hotspots’ di kawasan umum di 36 PPR termasuk lima Pusat Internet Komuniti sekali gus akan memberi manfaat kepada 150,000 penghuni PPR.

“Sehingga kini terdapat 154 PPR telah siap di seluruh negara dan pada tahun depan, kerajaan menyediakan peruntukan RM30 juta untuk memperluaskan fasiliti ini kepada 40 PPR, menjadikannya 76 PPR.

“Jika 76 PPR diperluaskan untuk fasiliti ini, bermakna 50 peratus PPR mempunyai fasiliti tersebut dan kita harapkan kalau setiap tahun ia dapat dilaksanakan, menjelang 2024 dijangkakan semua PPR akan menerima kemudahan ini,” katanya.

Tambah beliau, selain dapat meningkatkan kesalinghubungan dan kualiti perkhidmatan komunikasi digital bagi memastikan mereka tidak ketinggalan, program ini juga dapat membantu golongan peniaga dalam talian terutama kaum wanita yang tinggal di PPR dapat menceburi bidang ekonomi digital bagi meningkatkan pendapatan keluarga mereka.

Mengulas lanjut, Jayaselan berkata, untuk program MyBeautiful Keluarga Malaysia, kementerian berperanan mengangkat agenda Malaysia Berdaya Huni dan sehubungan itu, inisiatif tersebut akan dapat membaik pulih perumahan strata kos rendah dan kos sederhana supaya persekitaran kediaman menjadi lebih selesa dan berdaya huni.

Katanya, ia melibatkan 61 projek di 33 skim perumahan dengan anggaran kos RM12,464,917.54 meliputi penyenggaraan lif, tangki air, paip sanitari, bumbung, tangga dan susur tangan, mengecat bangunan, elektrik, harta bersama dan pagar.

“Sebagai contoh, meskipun rumah PPR adalah perumahan kos rendah, kita mahu ia selesa untuk didiami oleh penduduk. Suasana persekitaran kediaman kos rendah yang kotor dan kerosakan berlanjutan adalah satu persepsi yang perlu dibetulkan.

“Program ini bertujuan meningkatkan imej perumahan berstrata jenis kos rendah awam, mengembalikan keceraian dan sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk terutamanya golongan B40,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI