SUNGAI PETANI – Seramai 251,012 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai hari ini.
Pembukaan 752 sekolah itu adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.
Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad berkata, ia melibatkan seramai 154,214 murid tahun 1 hingga 6 dari 548 buah sekolah rendah.
“Seramai 96,798 orang pelajar lagi terdiri daripada pelajar kelas peralihan dan tingkatan 1 hingga 4 dari 204 buah sekolah menengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, sesi persekolahan berlangsung secara penggiliran mengikut kumpulan pelajar yang telah ditetapkan pihak sekolah.
Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Yan Kechil, Sungai Yan dekat sini, Nur Adriana Balqis Ahmad Zaki, 9, berkata, dia teruja dan gembira apabila dapat kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka bermula hari ini.
“Saya teruja kerana berada dalam kumpulan A kerana dapat ke sekolah lebih awal berbanding kumpulan B yang akan bersekolah minggu depan,” katanya. – K! ONLINE