PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima beberapa laporan baharu ekoran kes penipuan pembelian alat permainan konsol PlayStation 5 oleh seorang lelaki berumur 23 tahun dipercayai suspek utama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, terdapat beberapa kes baharu mengaitkan individu tersebut menjadikan jumlah tuduhan semakin besar.
Tambahnya lagi, siasatan akan diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan pihak PDRM mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi membuat tuduhan kepada lelaki terbabit.
Menurutnya, tuduhan akan dibuat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk menipu.
“Tangkapan sudah dibuat baru-baru ini oleh pihak PDRM dan kini berada dalam proses untuk selesaikan siasatan. Terdapat beberapa kes baharu lagi dilaporkan ketika ini menjadikan jumlah yang agak besar memaksa pihak polis untuk membuat penyelarasan.
“Kita berharap dapat selesaikan siasatan dalam masa terdekat dan boleh mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kita menuduh dia”, katanya pada Program High Profile Policing (HPP) di Sunway Pyramid Shopping Mall hari ini.-K!ONLINE.