KLANG – Tiga beranak nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dihempap pokok ketapang setinggi sembilan meter di Batu 1 Jalan Kapar-Kuala Selangor di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka masing-masing berusia dua tahun dan 20an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan enam anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.16 pagi.
“Setibanya di lokasi lapan minit kemudian, pemeriksaan mendapati kereta itu masih dihempap pokok setinggi kira-kira sembilan meter.
“Semua mangsa bagaimanapun terselamat dan keluar sendiri sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, pihaknya bertindak memotong batang pokok kelapa berkenaan dan mengalihkan ke kawasan selamat.
“Kita turut mengeluarkan kenderaan yang dihempap tersebut bagi kelancaran lalu lintas,” jelasnya. -K!ONLINE