GUA MUSANG – Polis menasihatkan orang ramai yang ingin masuk menjalankan aktiviti di perkampungan Orang Asli di daerah ini dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda supaya menangguhkan hasrat berkenaan ketika ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, aktiviti itu tidak sesuai diadakan ketika musim tengkujuh kerana faktor keselamatan selain kerosakan jalan di kawasan perkampungan Orang Asli.
Katanya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, sebarang aktiviti ke perkampungan Orang Asli yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Cuaca hujan menyebabkan jalan balak ke pos penempatan Orang Asli rosak sehingga kenderaan mudah terkandas di laluan jalan berlumpur.
“Antara kawasan Orang Asli di Gua Musang yang masih menggunakan laluan balak dan terjejas ketika musim tengkujuh ialah Pos Tohoi, Pos Bihai, Pos Balar, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Hau, Pos Pasik dan Pos Gob,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu seorang penduduk Orang Asli, Ajoi Anjang, 35, berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan kepada pihak yang ingin mengadakan program di kawasan perkampungan Orang Asli ketika musim tengkujuh.
Katanya, masyarakat Orang Asli turut terkesan kerana tidak dapat keluar ke bandar melalui jalan balak kerana laluan sudah rosak teruk. – K! ONLINE