KOTA BHARU – Prosedur operasi standard (SOP) pengurusan perkahwinan di negara ini sudah mengikut hukum syarak dan tidak perlu ditambah baik kerana sudah mengikuti syarat sah yang ditetapkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, bagaimanapun, masih ada pihak yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melanggar undang-undang termasuk terbabit dengan sindiket nikah tanpa tauliah seperti Lebai Loh.
Menurutnya, ada pihak yang mencari jalan singkat untuk berkahwin atau mengelak urusan di mahkamah termasuk untuk berpoligami dengan memilih khidmat sindiket itu.
“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang perkembangan terkini terutamanya dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) mengenai status perkahwinan pasangan yang menggunakan khidmat sindiket perkahwinan di Thailand.
“Mereka yang ingin berkahwin dinasihatkan supaya berurusan dengan pihak bertauliah bagi mengelakkan perkahwinan yang bertujuan menghalalkan hubungan, namun menjadi ikatan yang tidak sah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar apabila diminta mengulas laporan media mengenai isu khidmat sindiket nikah tanpa tauliah, yang dikenali sebagai Lebai Loh selepas Program Tabung Haji (TH) Prihatin di Pejabat TH Negeri Kelantan di sini hari ini. – K! ONLINE