KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah membenarkan individu lengkap vaksin masuk ke negeri ini tanpa perlu menjalani ujian calitan Covid-19 bermula 1 Disember depan.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, langkah berkenaan diambil selepas melihat sempadan Malaysia akan dibuka semula kepada pelancong antarabangsa tahun depan.
“Malahan sebanyak 266 penerbangan terus mingguan ke Sabah dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan dan Sarawak pada bulan ini dan melibatkan 43,000 tempat duduk.
“Penerbangan dalam negeri di Sabah sahaja juga terdapat 123 penerbangan mingguan dengan jumlah kapasiti 16,720 tempat duduk yang menghubungkan Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, dan Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perasmian Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) ke 49 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Sabah yang dipilih sebagai “Destinasi Kegemaran Malaysia” buat kali ketiga selepas tahun 2015 dan 2019 mengambil bahagian 12 gerai dalam pameran berkenaan bagi memperlihatkan pelbagai produk pelancongan yang ada di negeri terbabit. – K! ONLINE