LONDON – Aksi menentang Liverpool kali ini bakal menjadi pentas terbaik buat penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale membuktikan segala keraguan terhadapnya sebelum ini silap.
Peminat, pengulas dan media hangat memperkatakan tentangnya selepas Arsenal mengeluarkan dana sebanyak £24 juta (RM135.4 juta) mendapatkannya, namun pengurus pasukan itu, Mikel Arteta tidak langsung meragui kemampuannya.
Bernd Leno digugurkan selepas bolos sembilan kali dalam tiga aksi pertamanya sebelum Ramsdale muncul memacu pasukan dengan aksi tanpa kalah dalam semua pertandingan.
Ketika ini, Ramsdale sudah pun bermain sembilan kali buat Arsenal dengan enam daripada penampilan itu tanpa bolos termasuk dalam tiga aksi terakhir liga di tempat lawan.
Pencapaian itu adalah sesuatu yang hebat buat pemain 23 tahun itu dan segalanya mungkin menjadi lebih sempurna ketika kunjungan Arsenal ke Anfield awal pagi esok.
Jika Ramsdale berjaya mengekang anak buah Jurgen Klopp itu, dia akan menyamaikan rekod 16 tahun lalu yang dilakukan oleh Jens Lehmann pada Mei 2005 apabila beraksi tanpa bolos dalam empat perlawanan di tempat lawan.
Bagaimanapun, rekod Arsenal di Anfield tidaklah begitu baik dan kali terakhir The Gunners menang di venue itu adalah pada 2012.
Bagaimanapun, pencapaian 10 perlawanan tanpa kali meletakkan Arteta bertambah yakin ketika Liverpool pula dihimpit isu kecederaan pemain. – AGENSI