SHAH ALAM – Kegiatan sebuah premis di Bukit Kemuning melakukan aktiviti pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, baru-baru ini.
Dalam serbuan bermula pukul 3 petang pada Rabu lalu itu turut merampas 275 tong gas seberat 14 kilogram (kg) masing-masing berisi LPG dan kosong.
Selain itu, turut menahan tiga warga Myanmar dan seorang warga Indonesia yang merupakan pekerja premis berkenaan.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, kejayaan itu hasil risikan terhadap premis berkenaan yang disyaki menjalankan pemindahan LPG dari tong gas bersubsidi berat 14 kg kepada tong gas industri berat 50 kg.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan awal menunjukkan premis itu dipercayai tidak memiliki sebarang lesen sah bagi runcit atau borong.
“Malah, ketika pemeriksaan terdapat sebuah lori berada dalam premis itu yang disyaki menyimpan sejumlah tong LPG seberat 14kg dan 50kg diletakkan di atas pelantar.
“Turut ditemui set hos penyambung dan alat timbang pelantar dan kita syaki terdapat aktiviti pemindahan gas petroleum cecair dari tong subsidi kepada tong industri dijalankan di premis terbabit,” katanya pada kenyataan akhbar hari ini. -K!ONLINE