KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Perak semakin hampir untuk mempertahankan gelaran Piala Tun Abdul Razak dimenangi musim lalu apabila melangkah ke pentas final tahun ini.
Kejayaan itu hadir selepas menewaskan seteru tradisi yang juga naib juara musim lalu, Terengganu 2-0 pada separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Dua gol daripada skuad bimbingan Abdul Sukur Adam itu diperoleh menerusi pukulan sudut penalti bekas tonggak pertahanan kebangsaan, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin dan jaringan padang Arif Sabron pada minit ketujuh serta 46.
Lawan Perak di pentas final malam esok adalah Pahang yang mencipta kebangkitan dramatik untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir edisi kali ini.
Apa tidaknya, anak-anak buah Mohd. Sufian Mohamad itu terlebih dahulu ketinggalan dua gol kepada Melaka sebelum bangkit menyamakan kedudukan 2-2 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out.
Akhirnya, Pahang berjaya mengesahkan tiket ke final selepas menang 4-3 dalam penentuan penalti shoot-out tersebut.
“Tahniah kepada para pemain kerana memberikan komitmen yang tinggi selepas kami ketinggalan dua gol. Kami akan beri yang terbaik dan menjanjikan aksi final yang menarik esok,” kata kapten Pahang, Ismail Abu. – K! ONLINE