fbpx

Peniaga Pekan Sari kesal terima notis pindah tanpa perbincangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENIAGA Pekan Sari di Kampung Stesen, Kuala Sawah, Rantau, Seremban memegang sepanduk sebagai tanda protes selepas mereka menerima notis memindahkan gerai daripada pihak MBS. - Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Seramai 25 orang peniaga Pekan Sari yang terletak di Kampung Stesen, Kuala Sawah, Rantau dekat sini kesal dengan tindakan pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang mengeluarkan notis memindahkan gerai tanpa sebarang perbincangan dengan peniaga.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pekan Sari, Nurul Azlin Sulaiman, 46, berkata, notis tersebut dikeluarkan pihak MBS kerana mendakwa binaan struktur gerai peniaga telah menghalang laluan awam di kawasan itu yang terletak berdekatan dengan Sungai Linggi.

“Pihak MBS yang memberikan notis mendakwa kami mengganggu laluan serta kerja-kerja penaiktarafan dan pelebaran sungai ini. Sejak menjalankan perniagaan pada pertengahan 2018, tidak pernah berlaku sebarang gangguan kepada penduduk setempat dan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Kami sentiasa memberikan kerjasama, Pasar Sari ini tidak menghalang laluan kerana ia jalan mati di kampung ini. Lokasi pasar ini juga bukannya berada di jalan besar dan hanya berada di hadapan rumah penduduk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nurul Azlin, sembilan buah gerai peniaga dekat sini telah menerima notis tersebut pada 12 November lalu yang ditampal di tiang-tiang gerai.

“Kami juga berharap pihak berkenaan tampil berbincang dengan kami dahulu dan sekiranya mahu membaiki tebing sungai tersebut beri satu lokasi yang sesuai untuk penduduk kampung berniaga.

“Penduduk kampung mahu berniaga untuk satu hari sahaja iaitu pada hari Sabtu bermula pukul 6.30 pagi hingga 1 petang dan hanya menjual barangan produk kampung dan bukannya mengambil masa yang lama,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah yang turut hadir berkata, pihak berkuasa tempatan tidak sepatutnya menindas peniaga-peniaga kecil seperti di Pekan Sari tersebut.

“Saya akan cuba membantu dan berharap pihak berkenaan tampil memberikan penjelasan dan mencari jalan terbaik supaya Pekan Sari ini tidak ditutup. Peniaga ini hanya menjual produk-produk kampung, dalam masa sehari sahaja dan sepatutnya tidak berlaku isu seperti ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI