PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menuntut supaya bebas bersuara serta bertanggungjawab membuat teguran terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan membelakangi undang-undang di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hal ini kerana NGO memainkan peranan besar memperbetulkan sesuatu perkara malah, mereka turut berpengaruh dalam menaikkan atau menjatuhkan sesebuah kerajaan.
“NGO perlu tuntut supaya mereka bebas bersuara. Janganlah setelah mereka bersuara, kemudian dipanggil polis dan disoal kerana ini juga merupakan satu tekanan kepada mereka.
“Mereka perlu bebas dan kalau NGO bebas, banyaklah yang boleh dilakukan NGO untuk memperbaiki keadaan di dalam negara,” katanya pada Majlis Dialog NGO Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, NGO mempunyai peranan dalam memastikan negara ditadbir dengan baik malah, suara mereka boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya seterusnya pemilihan kerajaan yang diundi oleh rakyat.
“Orang politik perlu dengar suara NGO kerana mereka boleh mempengaruhi keputusan dalam pilihan raya, dengan hujah mereka, dengan undi yang ada kepada mereka, dengan pengaruh mereka, NGO boleh memainkan peranan untuk memperbetulkan (perkara) yang tidak betul.
“Menaikkan kerajaan yang berwibawa, adil dan baik serta menjatuhkan kerajaan yang menipu, mencuri, menyamun dan sebagainya. Itulah peranan NGO,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, menerusi sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, terdapat tiga kuasa penting iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman. – K! ONLINE