fbpx

Lubuk tenggiri jadi idaman pemancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERPANCAR senyuman bangga di wajah Mohd. Faizul Hakimi selepas berjaya menjinakkan seekor tenggiri yang agak besar saiznya.

BERJAYA mengumpan tenggiri di sekitar perairan Pangkalan Payung yang bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dianggap sebagai rezeki terakhir sebelum tibanya musim tengkujuh yang menyebabkan fenomena laut bergelora.

Apabila tiba Monsun Timur Laut, pemancing akan menyimpan joran mereka selama tiga hingga empat bulan ekoran fenomena ombak besar sehingga sukar untuk menjejak lubuk ikan yang pastinya akan berubah-ubah.

Pemburu tenggiri dari Kampung Gong Chokoh, Pasir Puteh, Mohd. Faizul Hakimi Muhamad Nor, 29, berkata, sebelum ‘bercuti’ daripada turun ke laut, dia dan lima rakannya berjaya mendaratkan sebanyak 18 ekor ikan tenggiri baru-baru ini.

Menurutnya, misi untuk menawan ikan kelas pertama itu berhasil selepas dia dapat menjejak lubuknya di Pangkalan Payung menggunakan pelbagai kaedah menarik perhatian ikan yang gemar ‘merembat’ umpan hidup.

“Langkah pertama yang dilakukan adalah memancing ikan seperti kembung, pelaling, selayang, selar, tamban beluru dan tamban sisik untuk dijadikan umpan hidup.

“Bekas besar yang lengkap dengan sistem pengudaraan disediakan agar umpan yang hendak digunakan tahan lama.

“Kami juga memancing anak kerisi dan anak alu-alu menggunakan mata kail polo, selain mencuba nasib mengail sotong kecil untuk dijadikan umpan,” katanya ketika ditemui Gewang baru-baru ini.

Mohd. Faizul Hakimi berkata, sekiranya kehabisan umpan hidup, dia dan rakan-rakan akan mengeluarkan umpan tiruan sama ada ikan rapalla, spoon dan umpan jigging.

MOHD. FAIZUL HAKIMI (kiri) dan rakan-rakan bersama hasil tangkapan tenggiri selepas berjaya menjejak lubuk spesies itu di perairan Pangkalan Payung baru-baru ini.

Menurutnya, perjalanan sehari memancing di Pangkalan Payung memerlukan sebuah bot yang disewa khas dengan bayaran RM1,000 hingga RM1,200 dari Kuala Tok Bali ke lubuk ikan dengan muatan enam pemancing.

“Tenggiri bukan sembarangan ikan. Spesies ini pandai memilih umpan dan pemancing perlu teknik yang betul menyangkut ikan, agar umpan mampu bertahan lama.

“Cara mencangkuk mata kail yang menggunakan umpan hidup adalah di sekitar atas garis lateral atau tengah badan ikan berdekatan sirip dorsal pertama.

“Ia juga boleh dicangkuk di atas belakang ikan dan bahagian mulut atau lubang hidung berdekatan mata. Teknik itu dapat mengelakkan tenggiri yang ditangkap tidak mudah mati,” ujarnya.
Jelasnya lagi, gerakan joran menunjukkan getaran membuktikan ada pemangsa yang sedang memburu apabila umpan hidup bertindak cuba melarikan diri.

“Apabila joran direntap, pemancing perlu menunggu beberapa saat sehingga umpan hidup masuk ke dalam mulut tenggiri.

“Kekili perlu dikarau secepat mungkin agar tali pancing tidak kendur ketika tenggiri menghala ke arah kita.

“Tenggiri akan bertindak agresif selepas merasa cangkuk tajam di mulutnya. Ia akan bertindak melawan tarikan paling tidak sebanyak tiga hingga empat kali. Kalau pandai melayan, ikan itu akan menyerah kalah,” katanya.

Dia yang berpengalaman memancing sejak 10 tahun lalu berkata, tenggiri sering bertindak memutuskan tali perambut dan membuang benda asing yang masuk ke dalam mulutnya, malah giginya yang tajam sering membuatkan pemancing kecewa.

BUKAN mudah untuk mendaratkan tenggiri yang memiliki daya kekuatan untuk melepaskan diri semasa menyambar joran.

Katanya, pemancing perlu memastikan kekili berada dalam kadar kayuhan tinggi agar tidak memberi ruang kepada tenggiri untuk memutuskan tangsi yang mengendur.

“Saya anggap kejayaan mendaratkan ikan tenggiri lebih setengah meter panjang dalam jumlah yang banyak adalah ‘hadiah’ sebelum tibanya musim tengkujuh. Lubuk yang kami jejak ini termasuk di sekitar kawasan unjam nelayan ternyata memberi kepuasan memancing.

“Kawasan anak-anak ikan melompat-lompat dipermukaan air memberi petanda lokasi tenggiri sedang mencari makan.

“Tanpa berlengah, umpan hidup dilabuhkan sama ada secara selaman dasar atau menggunakan kaedah menghanyutkannya di permukaan laut,” katanya.
Ujarnya, tenggiri akan diburu semula pada Mac atau April tahun depan apabila cuaca dan suasana gelora laut semakin tenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI