fbpx

‘Kira-kira dahulu, makan kemudian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Orang-orang tua pernah berpesan, makan jangan berkira sangat selagi ada selera dan rezeki. Kalau sudah terlantar sakit, makanan sesedap mana pun, sudah tidak boleh ditelan lagi.

Bagaimanapun, zaman sekarang, lebih elok kira dahulu makanan yang ingin dimakan itu sebelum ditelan masuk dalam perut, takut-takut nanti terkejut ‘beruk’ tengok bil yang terpaksa dibayar.

Kita tidak mahu lagi kecoh isu sekumpulan pelanggan yang terkejut dikenakan caj RM1,196 bagi seekor siakap yang dimasak di sebuah restoran terapung di Langkawi.

Sebelum ini, siakap bukankan spesies ikan yang begitu popular di negara ini. Jika beli ikan siakap di pasar raya, mungkin boleh dapat RM7 seekor sahaja.

Tetapi sejak isu siakap RM1,196 kecoh, populariti ikan yang nama saintifiknya Lates Calcarifer ini melonjak sehingga ramai yang menggelarkan ikan itu sebagai makanan orang kayangan.

Namun, pemilik premis makanan laut itu menjelaskan, ikan siakap yang telah diternak selama 11 tahun dengan hanya diberi makan ikan itu seberat 7.5 kilogram.

Malah, harga ikan siakap yang dijualnya itu adalah RM16 bagi setiap 100 gram, bukannya RM16 sekilogram. Maka tidak hairanlah harganya mencecah RM1,200.

Mungkin ada yang keliru dengan penggunaan sukatan berat apabila menyangka 100 gram itu adalah 1 kilogram. Selama ini, rata-rata pemilik restoran makanan laut sememangnya menggunakan sukatan berat seperti itu.

Namun, sejak isu ikan siakap RM1,000 tular, pemilik restoran makanan laut mula meletakkan dua harga dalam sukatan berat gram dan kilogram bagi mengelakkan kekeliruan.

Biar pengguna terkejut dahulu melihat harga yang dikenakan daripada terperanjat apabila menerima bil nanti. Sebab itu, lebih baik kita mengamalkan budaya ‘kira dahulu, makan kemudian’.

Jangan lagi mengamalkan budaya ‘makan dahulu, kira kemudian’. Budaya ini mungkin sering diamalkan kebanyakan peniaga kedai makan nasi campur antaranya kerana kekurangan pekerja atau terlalu ramai pelanggan.

Jadi ayat klise yang selalu digunakan ialah ‘makan dahulu, nanti kami kira’. Kalau bernasib baik, kiraan akan dibuat sebelum nasi dan lauk-pauk di pinggan belum habis ditelan. Tetapi kalau bernasib malang, pinggang sudah kosong, tukang kira pun tidak muncul-muncul.

Akhirnya terpaksa buat kiraan di kaunter, maka jenuhlah nak ingat satu persatu hidangan nasi campur yang telah diambil.

Itu tidak termasuk lagi kuantiti hidangan yang diambil, jika kuantiti sedikit, tetapi caj yang dikenakan melampau, ia boleh mendatangkan kemarahan.

Penulis sendiri juga lebih suka memilih kedai yang mengamalkan budaya ‘kira dahulu, makan kemudian’, tidaklah ‘terkebil-kebil’ kita mahu menelan makanan selagi tukang kira belum muncul.

Jadilah seperti restoran makanan segera, buat pesanan, buat bayaran dan barulah makan. Lebih selamat dan selesa.

Lainlah jika anda jutawan, tidak kisah semua perkara itu, namun bagi yang kurang mewah, jangan berlagak macam orang kaya, takut-takut nanti terpaksa pinjam duit rakan atau ahli keluarga untuk membayar bil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI