Oleh MOHD. FITRIE MUHAMAD
KELANTAN muncul pasukan pertama yang memulakan gerak kerja persiapan musim baru dengan menyasarkan layak ke Liga Super pada 2023.
Keputusan mengekalkan Rezal Zambery Yahya selaku ketua jurulatih musim depan dilihat sebagai pemudah cara kepada usaha pasukan merealisasikan sasaran yang ditetapkan.
Pemilik Kelantan, Norizam Tukiman berkata, selain memperkasakan pasukan dengan pemain tempatan berkualiti, pengurusan juga sedang menilai khidmat import terbaik.
“Untuk saingan musim depan, saya sudah pun berbincang dengan Pengarah Teknikal (Nasir Yusoff), kita nak bariskan import lagi berkualiti dan sasaran untuk berada di kelompok dua terbaik dan layak ke Liga Super.
“Saya sudah berjumpa dengan dua penaja dan walaupun tidak besar tetapi ia beri makna besar kepada pasukan.
“Untuk musim akan datang, kita akan sediakan bajet dua kali ganda berbanding apa yang sudah kita keluarkan musim ini,” katanya ketika majlis memperkenalkan Rezal sebagai ketua jurulatih The Red Warriors untuk musim depan.
Musim ini, Kelantan dianggarkan sudah pun berbelanja RM3 juta melibatkan perbelanjaan sepanjang sainga berlangsung.
Rezal yang sebelum ini menggalas selaku pemangku jurulatih bagi menggantikan Marco Ragini, telah mengikat kontrak selama tiga tahun.
Mengulas mengenai tanggungjawab baru yang bakal dipikul kali ini, Rezal kini sedang dalam proses mengenalpasti beberapa muka baru untuk dibawa masuk serta menilai pemain sedia ada untuk dikekalkan.
“Untuk pemain akan datang, kita sudah kenalpasti cuma kini sedang menilai secara terperinci. Pada saya, tekanan dalam bola sepak adalah perkara biasa tapi apa pun kita harus pergi ke arah sasaran yang ditetapkan.
“Positifnya, bila ada persiapan lebih awal, pemain akan bersedia untuk hadapi musim yang panjang. Untuk kali ini saya kena lagi serius untuk pastikan target mampu dicapai,” katanya.