MELAKA – Pengundi Melaka akan keluar beramai-ramai bermula pukul 8 pagi ini untuk memilih calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mereka akan sokong menjadi wakil rakyat.
Sekiranya 70 peratus daripada 476,037 pengundi berdaftar keluar mengundi hari ini, ia bermaksud seramai 333,225 orang akan mengundi sehingga pukul 5.30 petang ini.
Jumlah 333,225 pengundi tersebut bukan sedikit dan sekiranya gagal dikendalikan dengan baik dan tersusun, ia sangat berisiko untuk berlaku kluster PRN Melaka yang sangat mahu dielakkan.
Justeru, semua pihak yang terlibat dalam pengundian PRN Melaka hari ini perlu mengambil serius terhadap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Para pengundi terutamanya perlu memahami bahawa PRN Melaka kali ini berlangsung dalam keadaan norma baharu bagi mengelak penularan pandemik Covid-19 yang masih lagi berada dalam komuniti.
Meskipun telah disuntik dengan dua atau tiga dos vaksin Covid-19, tidak bermaksud diri adalah kebal daripada terkena jangkitan tersebut.
Risiko dijangkiti tetap tinggi, maka pematuhan terhadap langkah mengelak jangkitan virus itu adalah dituntut kerana itu juga maqasid syariah demi memelihara nyawa.
Antara perkara perlu diberi perhatian adalah terus beredar dari pusat pengundian selepas menunaikan tanggungjawab.
Jangan jadikan hari pengundian sebagai majlis ‘gathering’ atau ‘reunion’ tatkala terserempak rakan-rakan taulan yang sudah lama tidak bersua akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang petugas parti politik yang hanya mahu dikenali sebagai Din Pajang, 40, berkata, Counting Agent dan Polling Agent turut khuatir tentang keselamatan mereka.
“Namun, ini adalah amanah kepada kita, dengan peraturan yang ditetapkan, SPR diharap dapat mengelak jangkitan Covid-19. Semoga semua pihak bekerjasama mematuhinya.
“Kita tidak mahu ada yang dijangkiti dan kemudian pulang ke rumah menjangkiti ahli keluarga pula. Pilihan raya tetap pilihan raya dan Covid-19 tetap Covid-19,” katanya.