PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi menjawab tuduhan yang ditinggalkan segelintir netizen yang sewenang-wenangnya melabel dirinya sebagai penunggang agama.
Abby atau nama lengkapnya, Arbaiyah Abdul Manan berkata, dia dikurniakan ‘hadiah’ daripada Ilahi pada tahun 2012 sejak itu, kehidupannya mula berubah lebih ke arah lebih positif.
“Kalau seseorang nak kembali pada Islam dan berusaha nak jaga agama. Sesama Islam, kita patut saling menyokong. Bagi semangat. Ada pula yang cari salah orang dan tuduh pula orang penunggang agama.
“Pada 2012, Allah hadiahkan sesuatu yang tiada dalam diri saya dulu iaitu kesedaran untuk hidup dengan ajaran Islam. Lahir dah Islam tapi hanya pada nama dan kad pengenalan sahaja.
“Itulah antara detik perubahan pada diri saya. Ketika itu, saya berstatus ibu tunggal. Anak-anak pun kecil lagi. Saya guna peluang dan ruang Allah bagi sebaik mungkin. Anak-anak pun waktu itu saya jaga sepenuhnya,” katanya menerusi satu hantaran status panjang lebar dalam Instagram.
Abby, 44, menerusi hantaran sama melahirkan rasa syukur diberi peluang dapat berkenalan semula dengan agama dan perlahan-lahan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Dan asbab hadiah Allah beri itu, saya bersyukur anak-anak kenal Allah, kenal al-Quran dan hidup beramal dengan Islam.
“Saya kongsikan pengalaman apabila dijemput berkongsi cerita. Allah tenangkan hati untuk saya membezakan halal dan haram. Jadi, tak salah rasanya untuk saya bercerita.
“Apabila bercerita tentang pengalaman, bukan bermakna saya ini tak buat apa-apa salah dah. Saya manusia yang berusaha nak jadi lebih baik dan baik daripada sebelumnya,” luahnya.
Jelas Abby, tujuannya kembali semula dalam dunia lakonan menerusi drama Gerak Khas sebab ingin menjalin semula ukhwah dan tidak mahu memutuskan silaturahim.
Katanya, dia tetapkan niat di dalam hati dengan tujuan berkenaan dan berpegang kuat pada agama.
“2019 dan 2020 saya dipanggil untuk penggambaran Gerak Khas. Atas sebab lama tak berukhuwah, atas niat taknak putuskan silaturahim, saya terima.
“Saya genggam kuat agama saya. Saya tahu ada yang berkecil hati dan rasa lain apabila saya tak bersalam dengan mereka tapi saya memang tak boleh (bersalam) walaupun dah lama kenal.
“Walaupun macam adik-beradik, dah bertepuk tampar sebelum ini. Apabila Allah dah bagi faham, takkan saya nak ulang benda-benda salah itu lagi,” katanya.
Menggulung tulisannya dalam hantaran status berkenaan, Abby yang cukup dikenali menerusi watak ikonik, Inspektor Aleeza dalam siri Gerak Khas, menafikan dirinya seorang penunggang agama.
“Tak pernah terfikir nak jadi penunggang agama sebab saya tahu azab seksa Allah itu bagaimana.
“Saya cuma manusia biasa, iman turun naik itu biasa kerana saya tak mungkin sempurna. Tapi, insya-Allah, selagi Allah izinkan, hidup dan mati saya kerana Dia,” luahnya.
Terdahulu, Abby memuat naik satu entri menjawab persoalan seorang netizen yang melabel dirinya penunggang agama terutama apabila dirinya kembali melibatkan diri dalam dunia lakonan dan terbaharu, memiliki akaun TikTok. – K! ONLINE