PUTRAJAYA – Perbuatan berkahwin dan melakukan persetubuhan dengan al-jamadat atau objek tidak bernyawa yang amat dicintai oleh seseorang itu adalah jelas haram dan berdosa.
Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menasihatkan umat Islam agar menjauhi kecenderungan seksual atau hubungan romantis terhadap sesuatu benda yang tidak hidup.
Menerusi pencerahan terbaharu Irsyad al-Fatwa dalam laman sesawang rasminya semalam, agensi itu malah menjelaskan perbuatan melihat al-jamadat itu dengan syahwat juga haram kerana perlakuan itu adalah sesuatu amat bertentangan dengan fitrah atau sifat alami sebenar yang diciptakan Allah terhadap manusia sebagai makhluk-Nya.
Agensi itu turut merujuk perbuatan itu sebagai objectophilia atau objectum sexuality (OS) iaitu penyakit mental yang perlu dirujuk untuk dirawat dan dipulihkan kembali oleh pakar psikiatri, sebagaimana kajian dilakukan Julia Simner, James Hughes dan Noam Sagiv yang ada menjelaskan keadaan tidak normal itu memiliki kaitan rapat dengan penyakit synaesthesia.
Menurut ajaran Islam pula, Allah menjadikan manusia secara fitrah berkahwin antara lelaki dan perempuan melalui firmannya dalam ayat 72 surah al-Nahl dan ayat 1 surah an-Nisa selain diulas Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Tafsir Ibn Kathir yang menyatakan Allah telah menciptakan perempuan sebagai pasangan kepada lelaki untuk mencapai perasaan cinta.
“Maka, golongan yang melanggar fitrah ini akan dikeji seperti mana kaum Nabi Luth AS apabila kelompok lelakinya ‘mendatangi’ lelaki dan bukannya kaum perempuan,” jelas PMWP.
Imam al-Maraghi dalam kitab Tafsir al-Maraghi juga menyatakan bahawa Allah mencela kaum nabi tersebut walhal sudah dihalalkan mereka untuk jantina berbeza bagi saling bermesra, selain para ulama ada membahaskan hukum individu melihat sesuatu objek tidak hidup dengan pandangan syahwat sebagai haram antaranya Syeikh Sulaiman al-Bujairimi.
Kaedah itu turut disokong Syeikh Syamsuddin al-Ramli yang menyatakan perbuatan tersebut dengan ada kecenderungan seksual dan keinginan hubungan romantic sebagai berdosa. – K! ONLINE