PETALING JAYA – Tindakan seorang penunggang motosikal mengeluarkan telefon bimbit dan merakam sebuah kenderaan lain yang menegurnya kerana menunggang dengan bahaya dikecam oleh pengguna media sosial.
Menerusi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dikongsikan di laman Twitter, kelihatan sebuah kenderaan dipercayai sebuah lori (perakam) sedang memandu di jalan lurus sebelum memperlahankan pemanduan apabila berada di belakang sebuah motosikal.
Motosikal berkenaan bagaimanapun menimbulkan keresahan apabila dipandu dalam keadaan yang sangat perlahan dan berbahaya apabila sesekali dilihat terhuyung hayang.
Kejadian dipercayai berlaku pada 18 November lalu namun lokasi dan waktu kejadian tidak dimaklumkan menerusi perkongsian itu.
Perakam kemudiannya membunyikan hon apabila motosikal berkenaan semakin memperlahankan motosikalnya mengakibatkan kedua-dua kenderaan berhenti di tengah jalan dan berlaku pertengkaran di antara mereka.
“Ini jalan lurus kenapa kamu perlahan sangat? Kamu ada lesen kah? Lalu lorong kanan bawa perlahan sangat,” jerit si perakam.
Penunggang motosikal yang mungkin berang kerana ditegur kemudiannya mengeluarkan telefon bimbit dan mula merakamkan kejadian sambil mengugut untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Tindakannya itu bagaimanapun mengundang kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan lelaki itu seperti tidak sedar kesalahannya dan dilakukan dan cuba untuk berlakon menjadi mangsa keadaan.
“Ececey, siap keluar telefon bimbit ambil gambar pula. Macam dia pula yang tangkap orang tu buat salah,” kata @yussalman.
“Mujur ada rakaman, jika tidak pasti perakam pula dituduh buli jalan raya,” kata sisikaaa.
“Kita tunggu versi dia ambil video tu kelak. Apa dia nak cakap. Kalau sudah tular nanti kongsikan lah,” ujar @pisteng2203.- K! ONLINE