SABAK BERNAM – Penghasilan benih padi baharu, IS21 dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif penghasilan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) adalah salah satu usaha pelengkap dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.
Katanya, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri padi negara.
“Untuk makluman, benih padi ini berdaya tahan tinggi terhadap cuaca yang tidak menentu dan mempunyai rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering menyerang dan merugikan pesawah.
“Selain itu, baka padi IS21 ini juga berpotensi memberi hasil tuai yang tinggi dan dapat meningkatkan pendapatan para pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan kerajaan.
“IS21 juga mampu mengeluarkan hasil padi sehingga 9 tan sehektar mengikut kawasan penanaman,” katanya ketika berucap melancarkan benih padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sekinchan hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kabinet telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyelesaikan permasalahan kenaikan harga baja dan racun selain turut memberikan bantuan kepada golongan petani dan pesawah.- K! ONLINE