RANTAU PANJANG – Empat buah kampung di sini berdepan musibah banjir termenung susulan limpahan air kesan projek pembinaan tebatan banjir di Sungai Tersang yang sedang dijalankan ketika ini.
Empat buah kampung yang terkesan dengan projek itu adalah Gua Tok Deh, Tersang, Lachang dan Bongor.
Seorang penduduk dari Kampung Gual Tok Deh, Hussin Abdullah, 55, mendakwa, projek itu menyebabkan aliran air Sungai Tersang tersekat dan hanya satu saluran dibuat untuk air mengalir.
“Apabila air bertambah, ia menenggelamkan kawasan-kawasan rendah di sekitar kampung. Hujan tidak lebat pun namun, air Sungai Tersang tetap naik,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di kampung itu semalam mendapati, kesemua kampung-kampung tersebut sudah ditenggelami air sedalam 0.5 hingga 1 meter sehingga menyebabkan penduduk mula menggunakan perahu dalam urusan mereka.
Keadaan itu menyebabkan seramai 31 orang penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas dari Kampung Tok Deh terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh malam kelmarin.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Tersang, Mariam Mamat, 77, memberitahu, walaupun sudah lali dengan kejadian banjir semasa musim tengkujuh, namun fenomena air naik kali ini disifatkan sebagai luar biasa.
“Kebiasaannya air akan naik apabila hujan lebat tidak henti lebih daripada dua hari. Cuaca di Rantau Panjang dalam keadaan baik meskipun hujan pada waktu malam, namun air tetap naik juga,” ujarnya.