JOHOR BAHRU – Baru sahaja tamat perang mulut dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kini Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terpalit dengan isu membabitkan kelab negeri Selangor pula.
Episod kali ini membabitkan individu yang menguruskan kelab bola sepak Selangor memainkan persepsi seolah-olah kelab bola sepak JDT menjadi kaya kerana mengaut projek-projek di Johor.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) hari ini mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut di laman Instagramnya.
Jelasnya, kekayaan keluarga Diraja Johor adalah hasil menjalankan perniagaan semenjak tahun 1897 dan bukannya baru-baru ini menjadi kaya mengangkut duit kerajaan atau duit rakyat.
Tambahnya, keluarga Diraja Johor juga tidaklah mengaut hasil untung negara dan membawa lari keluar dari negara.
“Keluarga Diraja Johor berniaga semenjak tahun 1897. la bukan suatu perkara yang aneh yang perlu disembunyikan kepada rakyat
“Awak ingat saya ini tiada duit ke? Ini adalah kelab bola sepak paling berjaya dalam negara sejak sembilan tahun kebelakangan ini dari segi nilai komersial, pendapatan dari penaja tempatan dan antarabangsa, meraih kejuaraan dan pembangunan bola sepak.
“JDT bukan kelab yang memberi janji-janji manis atau palsu kepada penyokong, ambil duit kerajaan sedangkan negeri sendiri ada masalah air,” tulis Tunku Ismail di Instagram miliknya hari ini.
Tambah Tunku Ismail lagi, adalah lebih baik peruntukan tersebut diguna pakai untuk memberi air kepada rakyat Selangor dan menjaga rakyat.
“Itu lebih baik daripada memberi kepada Izhar Moslim yang menjaga kelab bolasepak Selangor seperti dimiliki olehnya, tetapi tiada apa-apa sejak enam tahun.
“Tiada duit, tiada nilai komersial, tiada piala dan tiada apa-apa. Nasihat saya, kepada pucuk kepimpinan dan seluruh pengurusan sila letak jawatan segera.
“Sampai bila nak menggunakan peruntukan negeri demi menguntungkan poket individu yang berada dalam kelab.
“Tak payah asyik menyeru penyokong untuk bersatu memberi sokongan sedangkan anda semua adalah punca kegagalan kelab,” ujarnya.-K! ONLINE