fbpx

Artis ‘sejati’ tak perlu tular benda bodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAY Z, Jennifer Lawrence, Brat Pitt dan George Clooney, antara bintang yang tidak mempunyai akaun media sosial

 

MOHD. HAIKAL ISA, WARTAWAN EKSEKUTIF

JAY Z, Jennifer Lawrence, Brad Pitt dan George Clooney. Itu nama-nama bintang ternama dunia yang barangkali tidak membiarkan semudah-mudahnya, pengaruh media sosial memberi definisi terhadap kerjaya seni mereka.

Sehingga artikel ini ditulis, mereka tidak memiliki akaun media sosial terutama Instagram yang kononnya menjadi ‘kiblat’ untuk melazimkan nama mereka di mata dunia.

Tidak perlu semua itu dan nama-nama yang disebutkan masih kekal menjadi dambaan global dan karya dalam cabang seni kekal menjadikan diri mereka jutawan dan bilionair.

Bukan berniat untuk membanding budaya tindak-tanduk individu berstatus anak seni tempatan dengan mereka di luar negara, tetapi inilah realitinya.

Kebanyakan daripada artis kita sanggup bertindak melulu membabi buta demi sekutil kuasa bernama publisiti. Spesifiknya, publisiti murahan.

Kalian mungkin serba cakna sejak kebelakangan ini, ramai individu yang ingin terjun dalam dunia seni atau sudah sedia terjun dalam bidang ini tergamak memperdajal industri dengan melakukan perihal-perihal yang tidak sewajarnya.

Alasannya, boleh melenting tular dan efek domino yang hadir sama, untung juta-juta.

Sedar atau tidak, kalau situasi ini terus dibiarkan berjalan, industri seni tanah air, baik muzik mahupun lakonan, akan terus mundur dan terus dipandang sebagai tempat longgokan sampah.

Perkara itu diakui pengasas Kartel Records yang juga pe­nyanyi rap tersohor tanah air, Joe Flizzow. Katanya, ada batasan sekiranya berniat mewujudkan publisiti murahan demi menjual produk seni.

“Memang benar, media sosial dah ubah cara hidup kita dari hari ke hari tetapi biar saya ingatkan bahawa ia juga tidak ‘define’ siapa kita sebagai seorang artis.

“Saya faham sesetengah artis muda, bagi mereka ‘Likes’ dan ‘Followers’ adalah segalanya tetapi pada masa sama, tolonglah gunalah common sense.

“Ini mungkin kedengaran sedikit ‘keras’, sebelum melakukan sesuatu itu, tanya dulu pada diri, kalau apa yang kita nak buat di sosial media itu akan buat ibu bapa kita maki kita, besar kemungkinan lebih baik batalkan hasrat nak jadi tular sebab benda bodoh,” kata Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak.

Benar, media sosial sudah me­rubah sebahagian besar budaya kehidupan manusia tetapi kita, terutama yang berasal dari negara yang kaya dengan nilai ketimuran.

“Tak semua perkara yang kita kongsi di media sosial penerimaan orang hanya gelak ketawa dan ia berhenti di situ. Contoh­nya, kalau tonjol dan sepak kepala orang, di Malaysia, boleh jadi satu masalah besar.

“Di Amerika Syarikat mungkin itu tak jadi masalah, tapi di sini kalau anda kongsikan di media sosial, anda berada dalam situasi nahas barangkali,” kata Joe.

Berkongsi pandangan sama, komposer dan penulis lirik ter­kenal negara, Dr. Mohd. Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer berkata, perlu ada rasa hormat terhadap industri seni kalau inginkan perkara sama melantun pada diri.

“Jangan ada niat tidak baik terhadap industri. Kalau memang ingin membina nama sebagai penyanyi atau pemuzik, buatlah apa selayaknya. Jual bakat dan bukannya buat gimik dan esok lusa, anda menghilang daripada radar industri.

“Bagi saya, rakam lagu untuk tujuan publisiti adalah satu perihal yang sangat tidak sihat. Kalau dibiarkan ‘kanser’ seperti ini berlanjutan, kita akan terus ketinggalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI