SHAH ALAM – Kerajaan sepatutnya mengharamkan kemasukan dan penggunaan rokok eletronik dan vape di negara ini dan bukannya mengenakan cukai kepada pengguna dan penjualnya.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang berkata, ini berikutan kedua-dua alatan tersebut tidak memberikan sebarang manfaat kepada kesihatan rakyat negara ini.
“Mengikut kajian beberapa buah negara termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rokok elektronik dan vape bukan alternatif terbaik untuk seseorang individu menghentikan ketagihan merokok.
“Sebaliknya, menghisap dua alat ini adalah satu bentuk ketagihan nikotin baharu dan ia sukar dikawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik berkata, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel yang bernikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Malah, Kosmo! pada 8 November lalu turut melaporkan rokok elektronik atau vape bakal menjadi fenomena ketagihan baharu kerana laporan kajian ilmiah dilakukan beberapa pihak menunjukkan lebih sejuta orang atau 4.9 peratus invidu menjadi pengguna tegar alat peranti tersebut di Malaysia.
Justeru, beliau meminta kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat demi kesihatan rakyat Malaysia.
“Rokok termasuk rokok elektronik dan vape bernikotin adalah penyumbang risiko yang utama dalam isu penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini yang juga merupakan masalah kesihatan besar.
“Tambahan menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya terpaksa berbelanja besar bagi merawat penyakit berkaitannya,” jelasnya. – K! ONLINE